Muawiyah - Ali - Darumiyyah Al-Hajuniyyah?

OLEH: Muhamad Haris Ismail




Penulis pro-Syiah, Entiti Syiah (ES) telah menulis sebuah kisah di mana Muawiyah RA memujuk seorang perempuan pemuja Ali RA bernama Darumiyyah al-Hajuniyyah, yang mana beliau tetap menolak tawaran Muawiyah RA - demi menunjukkan Ali RA lebih adil serta lebih berhak menjadi khalifah. Saya ingin jelaskan disini dalam 2 subtopik dibawah:

A. SIAPAKAH DARUMIYYAH AL-HAJUNIYYAH?

Siapakah perempuan ini? Al-Zamakhsyariy [wafat 538H] dalam Rabi’ al-Abrar wa Nusus al-Akhyar (152/3) menyebut:

دارميّة الحجونية من شيعة علي رضي الله عنه وكانت سوداء ضخمة

Maksudnya: “Darumiyyah al-Hajuniyyah adalah sekte Ali RA dan beliau berkulit hitam serta berbadan besar”

Nama Darumiyyah berasal dari perkataan al-Darum (الدَّارُومُ), iaitu sebuah benteng di semenanjung Gaza. Manakala al-Hajuniyyah berasal dari perkataan al-Hajun (الحَجون), sebuah kawasan terkenal di Makkah. Inilah yang disebut oleh Yaqut al-Hamawiy [wafat 626H] dalam Mu’jam al-Buldan (424/2).



B. STATUS KISAH

Kisah ini banyak diriwayatkan dalam kitab sejarah, yang diriwayatkan melalui jalur yang sama, sama ada dari al-‘Abbas bin Bakkar al-Dhabbiy atau Suhail Ibn Abi Suhail al-Hujaimiy al-Tamimiy. Yang paling popular, ia diriwayatkan oleh al-‘Abbas bin Bakkar al-Dhabbiy atau lebih dikenali Ibn Bakkar [wafat 222H] dalam kitabnya berjudul Akhbar al-Wafidat min al-Nisa’ ‘ala Muawiyah bin Abi Sufyan (40/1). Ibn Bakkar menukilkan kisah ini agak panjang, tidak seperti mana yang dinukilkan oleh BK dalam tulisan beliau. Untuk menilai status kisah ini, mari kita lihat senarai perawi:

عن العباس بن بكار والحسين بن أسد الطفاوي قالا حدثنا سهيل ابن أبي سهيل الهجيمي التميمي عن أبيه عن عمته

Maksudnya: “Dari al-‘Abbas bin Bakkar dan al-Husain bin Asad al-Tafawiy berkata, telah menceritakan pada kami Suhail Ibn Abi Suhail al-Hujaimiy al-Tamimiy, dari ayahnya, dari makciknya.”

Apa kata ulama mengenai al-‘Abbas bin Bakkar al-Dhabbiy?

✓ Al-Khatib al-Baghdadi [wafat 463H] dalam Tali Talkhis al-Mutasyabih (556/2): al-‘Abbas bin Bakkar tidak tsiqah.

✓ Sheikh Muqbil bin Hadi al-Wadi’i [1422H] dalam Rijal al-Hakim fi al-Mustadrak (442/1): kata al-Daraqutni: pendusta.

✓ Al-Zirikliy [wafat 1396H] dalam al-‘Alam (259/3): ulama mencemarkannya dalam periwayatan hadith.

✓ Al-Zahabi [wafat 748H] dalam Tarikh al-Islam (592/5): pendusta, dalam Mizan al-Iktidal (382/2): kata al-'Uqailiy: kebiasaan hadithnya waham dan mungkar. Kata Ibn Hibban: hadith batil.

✓ Nur al-Din al-Haithamiy [wafat 807H] dalam Majma’ al-Zawaid wa Manba’ al-Fawaid (30/2): tidak aku temui pengenalannya.

✓ Ibn Hajar al-‘Asqalaniy [852H] dalam Lisan al-Mizan (237/3): dicurigai hadithnya. Kata Ibn ‘Adiy: mungkarul hadith. Kata Abu Nu’aim al-Asbahaniy: meriwayatkan hadith mungkar.

Manakala perawi seperti al-Husain bin Asad al-Tafawiy dan Suhail Ibn Abi Suhail al-Hujaimiy al-Tamimiy dan lain-lain majhul, tiada pengenalan mengenai diri mereka dalam mana-mana kitab tabaqat rawi mahupun mu’jam rawi.

Disebabkan al-‘Abbas bin Bakkar bermasalah ditambah pula dengan perawi lain yang majhul, maka jelas disini bahawa kisah ini adalah PALSU.



[ Segala latar belakang, sifat dan pandangan oleh penulis artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian PENA ]

___________________________
~ Muhamad Haris Ismail ~






Dapatkan buku Menangkis Fitnah Yang Terpalit Pada Bani Umayyah! Untuk keterangan lanjut sila KLIK DI SINI .

Comments