OLEH: Abu Zabag
1) Jilid 222b
"Śrīvijaya (室利佛逝= Shih-li-fo-shih) atau (尸利佛逝 = Crībhoja) terletak 2000 li (~ 800 km) dari Pulau Kundur (軍徒弄 = Kiün-t’u-lung). Ia melebar 1000 li (~ 400 km) dari Timur ke Barat, dan memanjang 4000 li (~ 1600 km) dari Utara ke Selatan. Ia mempunyai 14 negarakota vasal dan pemerintahannya dipecahkan kepada 2 bahagian. Kerajaan di sebelah baratnya dipanggil Langabalus (郎婆露斯 = Lang-p’o-lou-si).
Śrīvijaya mempunyai emas yang banyak, merkuri dan borneol (sejenis kapur barus). Pada musim panas solstis, dari 8 chi (1 chi ~ 22.5cm) bar diletakkan tegak, panjang bebayang terhasil adalah 2 chi dan 5 chun (1 chun = 1/10 chi) ke arah selatan [berdasarkan pengiraan saintifik dengan mengambilkira pemboleh ubah obliquity (ɛ), Śrīvijaya terletak pada latitud 7° 17” utara]. Di negara ini bilangan lelaki mengatasi bilangan wanita.Mereka mempunyai seekor haiwan yang dipanggil t’oh-t’o-pau (kerbau?), berbintik dan dengan tanduk badak, yang digunakan untuk menunggang dan membajak, mereka memanggilnya membawa harimau bintang jinak. Ada juga seekor haiwan seperti babi liar yang bertanduk seperti kambing liar dipanggil yū (kijang?). Dagingnya sangat halus.
Rajanya bernama Hoh-mih-to. Antara tahun 670-741, baginda (raja Śrīvijaya) berulangkali menghantar utusan untuk mengemukakan surat kesetian. Pernah sekali apabila ini dirompak oleh para pegawai sempadan, dan kemudiannya Maharaja (China) memerintahkan Guangzhou untuk menenangkan mereka. Baginda (raja Śrīvijaya) juga pernah menghantar dua orang kerdil dan dua wanita negro dengan penari dan pemuzik. Para utusan mendapat pangkat rasmi cheh-ch’ung, raja telah dijadikan komandan agung bagi pengawal sempadan kiri dan sebagai hadiah baginda (raja Śrīvijaya) mendapat sebuah jubah ungu dan sebuah bengkung dengan bunga-bunga emas.
Kemudiannya baginda (raja Śrīvijaya) mengutuskan putera baginda ke istana Maharaja (China). Maharaja memerintahkan untuk meraikan beliau (putera mahkota Śrīvijaya) di salah sebuah dewan istana dan melantiknya sebagai putera mahkota dengan perintah. Beliau (putera mahkota Śrīvijaya) juga mendapat sebuah gelaran tentera yang tinggi dan kemudiannya beliau (putera mahkota Śrīvijaya) dihantar pulang."
2) Jilid 43b
“Dari Kiün-t’u-lung (Pulau Kundur, di selatan bandar Ho Chi Minh, Vietnam), selepas 5 hari, seseorang akan sampai di sebuah selat yang orang asing memanggilnya “Chih”. Ia berukuran 100 li (~ 40 km) dari utara ke selatan. Di pantai utaranya terletak negara Lo-yueh (bahagian paling utara Semenanjung, termasuk Tanintharyi, Ratchaburi dan Phetchaburi) dan di pantai selatannya terletak negara Fo-shih (Śrīvijaya). Menghala ke timur dari Śrīvijaya, dalam 4-5 hari, seseorang sampai di negara Ka-ling/Ho-ling (Keling), iaitu pulau terbesar di selatan. Seterusnya, menghala ke timur (barat?) setelah keluar dari sebuah selat (sebuah lagi selat), dalam 3 hari seseorang akan sampai di negara Ko-ko-seng-chih (Dumai-Bengkalis) yang terletak di pulau satu lagi, ke arah barat lautnya adalah Fo-shih (Śrīvijaya). Kebanyakan penghuninya adalah lanun. Kapal-kapal yang menempuh diganggu oleh mereka. Di pantai utara selat itu adalah negara Ko-la (Kedah). Menghala ke barat (barat laut?) dari Kedah adalah negara Ko-ku-lo (Takuapa). Seterusnya, dari Ko-ko-seng-chih (Dumai-Bengkalis), selepas 4-5 hari seseorang akan sampai di Pulau Shöng-töng (Kota China?). Kemudian ke arah barat selepas 5 hari seseorang akan sampai di negara P’o-lu (Balus). Kemudian selepas 6 hari perjalanan seseorang akan sampai di Pulau K’ie-lan dalam negara P’o (Langabalus). Kemudian ke arah utara (barat?), selepas 4 hari seseorang akan sampai di negara Singa (Sri Lanka).”
___________________________
~ Abu Zabag ~
Sahabat PENA
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
Comments
Post a Comment