OLEH: Taufiq Tuah
Kejadian berlaku di Kampung Memali, Baling, Kedah. Pertuduhan yang membenarkan pemburuan ini ialah,
1. Ustaz Ibrahim membawa ajaran sesat.
2. Ustaz Ibrahim ialah Komunis.
Kisah Yang Diluahkan Oleh Isteri Ustaz Ibrahim Libya, Puan Solehah
18 November 1985, telah ada maklumat yang polis berada di sekitar kampung. Beberapa khemah dan sekatan jalan mulai dibuat. Ustaz Ibrahim tidak risau ketika itu kerana misi pengintipan sebelum ini juga polis tidak berjaya. Namun agak pelik kerana kali ini polis mulai berkhemah menunjukkan bahawa pergerakan kali ini lebih serius.
Sehingga malam itu, tidak ada apa-apa tindakan dari pihak polis. Suasana di rumah Ustaz Ibrahim juga tenang. Namun berita pengepungan rumah itu semakin tersebar. Maka ramai lah orang kampung yang datang ke rumah. Namun Ustaz Ibrahim tetap juga tiada membuat apa-apa arahan untuk menyerang pihak polis.
19 November 1985, paginya disambut dengan laungan azan. Mereka bersolat subuh berjemaah bersama anak-anak buah Ustaz Ibrahim yang masih ada di rumah itu. Malah sempat juga berkuliah subuh di situ. Antara ayat nasihat Ustaz Ibrahim ketika itu ialah
"Jika sampai masanya kamu terpaksa berdepan dengan perjuangan yang memerlukan pengorbanan darah dan nyawa, jangan ada antara kamu yang memalingkan tumit-tumit kamu ke depan (lari). Kerana jika mati ketika lari itu, maka kamu telah tempah salah satu tiket ke neraka".
Setelah kuliah, ada beberapa anak buah Ustaz Ibrahim yang pulang ke rumah masing-masing. Pasukan polis terutamanya unit Pasukan Polis Hutan (PPH) semakin ramai. Isteri Ustaz Ibrahim (namanya Solehah) terus masuk ke dapur membuat kerja-kerja suri rumah. Tiba-tiba Solehah terdengar bunyi kelam kabut di luar. Ada ramai lelaki di luar termasuk suaminya. Bagaikan ada berita baru namun Solehah tak dapat nak curi dengar. Namun orang kampung semakin ramai datang ke rumahnya. Sehingga yang baru sahaja pulang tadi pun datang kembali.
Rupanya seorang anak buah Ustaz Ibrahim dari Sik mendapat tahu yang trak polis, PPH dan FRU sedang menuju ke rumah itu dengan banyaknya. Hal itu membuatkan ramainya orang kampung semua bergerak ke hulu ke hilir kawasan rumah Ustaz Ibrahim.
Lebih kurang 8 pagi, pembesar suara berbunyi agar mereka di rumah itu bersurai. Namun suara itu dibalas dengan takbir beramai-ramai. Tiba-tiba sebuah kereta perisai yang penuh dengan anggota bersenjata pun muncul dihadapan pagar. Sementara orang kampung ketika itu bersenjatakan buluh, kayu, parang dan lastik. Ada seorang atau dua orang sahaja mempunyai pedang.
Kemudian melayang benda-benda bulat yang mengeluarkan asap (bom pemedih mata) ke arah orang kampung. Bukan sahaja memedihkan mata malah memedihkan tekak. Dikisahkan juga bahawa Ustaz Ibrahim sempat menjampikan daun kopi untuk yang terkena bom tersebut agar yang mengunyahnya boleh kurangkan rasa pedih.
Kemudian kata seorang remaja kepada Solehah "Bagi anak itu dekat saya (anak Solehah berusia beberapa bulan yang dah pedih mata). Saya nak bawa tunjuk dekat polis. Kalau-kalau polis akan tinggalkan tempat itu".
Lalu diberikan anak itu secara berat hati. Ada juga anak yang berusia tujuh ke lapan tahun yang pengsan akibat bom itu.
Kemudian terdengar bunyi tembakan dari arah kereta perisai ke arah rumah Ustaz Ibrahim. Terlihat seorang lelaki rebah berdekatan kereta perisai itu. Dikatakan itu merupaka Cikgu Shafie, salah seorang anak murid Ustaz Ibrahim.
Hampir satu jam tengah hari, bunyi tembakan bertubi-tubi kedengaran menunjukkan rumah itu telah diserang. Kemudian isteri muda kepada Ustaz Ibrahim yang bernama Rokiah terus keluar. Mungkin juga untuk mencari suaminya. Kemudian dia berteriak "Ustaz Man (Ustaz Ibrahim) kena tembak". Ibu kandung Ustaz Ibrahim cuba untuk mengubati dengan herba namun tidak berjaya.
Kemudian datang polis-polis mengelilingi Solehah dengan diacu muncung senapang. Solehah hanya bertegas " Tembaklah!"
Namun pihak polis tidak menembak dan menunggu waktu sahaja agar Solehah menyerah diri.. Ustaz Ibrahim ketika itu masih bernafas dan dibawakan ke trak polis.
Segenggam Kisah
Tuduhan yang dikatakan tentang Ustaz Ibrahim membawa syahadah yang berbeza. Tuduhan mengatakan Ustaz Ibrahim Libya mengajarkan syahadah yang menukar istilah "Muhammad Pesuruh Allah" kepada "Ibrahim Persuruh Allah". Tuduhan ini dinafikan oleh ramainya anak-anak murid Ustaz Ibrahim malah juga dinafikan oleh isterinya.Adakah Ustaz Ibrahim mengkafirkan UMNO? Saya sejujurnya tidak tahu menahu tentang kesahihan tuduhan ini dan berlepas diri dari membincangkannya. Namun tahun itu ialah tahun di mana Amanat Haji Hadi itu menjadi pegangan hampir semua ahli PAS. Pada tahun-tahun itu lah ramainya suami isteri yang berlainan pandangan politik (PAS-UMNO) telah bercerai. Malah orang PAS yang solat berjemaah berimamkan orang UMNO akan mufaraqah daripada jemaah. Hal ini sangat terkesan di Kelantan, Terengganu dan Kedah secara khasnya dan Malaysia secara umumnya.
Namun sekali lagi dijelaskan saya berlepas diri dari menuduh samada Ustaz Ibrahim mengkafirkan UMNO atau tidak.
Tuduhan yang mengatakan Ustaz Ibrahim ialah Komunis ialah tuduhan semata-mata. Malah tuduhan yang sangat berat. Jelas sebenarnya Ustaz Ibrahim seorang ahli PAS dan bukannya Komunis. Malah tidak ada kaitan di antara PAS dengan Komunis.
Diminta juga para pembaca untuk membaca tajuk dibawah untuk memahami peristiwa ini dari sudut Islam:-
1. Apa Itu Bughah?
2. Apa Itu Baiah?
Rujukan: Suamiku Kekasih Allah, CN Al-Afghani, Penerbitan Al-Jihadi, 1999.
___________________________
~ Taufiq Tuah ~
Lajnah Sejarah Dan Tradisi
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
Comments
Post a Comment