OLEH: Taufiq Tuah
Saya kira semua orang sebenarnya sudah tahu tentang penggunaan istilah 'Masuk Melayu' yang sinonim dengan 'Mualaf' atau 'Masuk Islam'. Penggunaan ini digunakan meluas bagi orang Melayu terutamanya kerana Melayu dan Islam itu harusnya bergerak seiring.
Hatta pada zaman nenek kita juga (baru dua generasi sebelum), mereka masih menggunakan istilah masuk Melayu. Sehingga terkadang sesama mereka dengan orang India dan Cina juga berseloroh dengan ayat seperti "Mau masuk Melayu ke? dengan sinis.
Malah jika ada orang Cina atau India yang ingin melamar pasangan Melayu, mereka juga akan ditanya jika mereka mahu Masuk Melayu atau tidak yang mana hakikatnya bermaksud 'Masuk Islam'.
Budaya ini bukan sahaja berlaku di semenanjung Malaysia tetapi juga di tempat-tempat lain. Sepertinya di Sumatera ketika raja-raja Melayu masih bertakhta, jika ingin menjadi Muslim di kawasan kerajaan Melayu Sumatera , seseorang perlu masuk Melayu, memakai budaya Melayu serta nilai dan tradisi kerajaan, mengakui sultan sebagai ketua agama.
Menunjukkan betapa sebenarnya istilah 'Masuk Melayu' ini bukan sekadar bualan-bualan seharian tetapi juga menjadi satu kaedah rasmi bagi kerajaan-kerajaan Melayu dahulu.
Namun persoalannya adakah masih relevan menggunakan istilah 'Masuk Melayu' menggantikan istilah 'mualaf' di zaman moden.
Perlu diingatkan bahawa penggunaan istilah 'Masuk Melayu' bukan merujuk kepada 'syahadah' iaitu perkara pertama jika memeluk Islam. Istilah 'Masuk Melayu' sebenarnya lebih menjurus kepada perbuatan 'khitan' atau 'sunat'. Mungkin kerana istilah 'khitan' atau 'potong' itu lebih berbunyi radikal dan ekstrim. Maka dilembutkan perkataan itu kepada sesuatu yang tidak membuatkan pendengar akan membayangkan perbuatan itu. Maka digunakan istilah 'Masuk Melayu'.
Tidak berlebihan untuk saya katakan bahawa pindaan istilah ini sebenarnya merupakan salah satu kaedah dakwah di zaman dahulu. Di mana berdakwah itu perlunya dengan hikmah. Maka untuk tidak menakut-nakutkan bakal saudara baharu, kita menggunakan istilah yang lebih molek didengari. Mungkin istilah 'Masuk Melayu' boleh dikiran sebagai relevan di waktu itu.
BAGAIMANA DENGAN ZAMAN MODEN?
Saya suka untuk mengklafikasikan penggunaan istilah 'Masuk Melayu' ini kepada dua keadaan.
1. Jika dimaksudkan bahawa mualaf itu termasuk di dalam takrif Melayu, maka benar dan relevan lah bahawa mualaf disebut sebagai 'Masuk Melayu'.
Hal ini kerana menurut Perkara 160 (2) Perlembagaan Malaysia, orang Melayu itu mestilah beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu, bertutur menggunakan bahasa Melayu dan (a) lahir sebelum hari merdeka sama ada di Persekutuan atau Singapura, atau pada hari merdeka telah bermastautin di Persekutuan atau Singapura atau (b) ia adalah keturunan dari seseorang yang tersebut.
Takrifan orang Melayu di dalam perlembagaan yang sebenarnya agak longgar membuatkan mualaf sebenarnya layak ditakrifkan sebagai Melayu jika memenuhi kehendak perlembagaan. Bagi kes ini, mereka relevan digelar 'Masuk Melayu'.
2. Seterusnya pada isu adakah mereka (mualaf) sudi digelar Melayu? Isu sudi atau tidak sudi ini sebenarnya kembali kepada individu. Harus difahami bahawa bukan semua orang Cina dan India yang mahu memeluk Islam itu sudi digelar Melayu. Malah ada di kalangan mereka yang masih ingin menonjolkan jati diri mereka dengan penuh keislaman. Hakikatnya bagi kes ini, maka istilah 'Masuk Melayu' itu perlu di ketepikan seketika.
Hal ini berbeza dengan zaman dahulu, 'Masuk Melayu' lebih difahami semakna dengan khitan. Tapi pada zaman ini, ramai diantara orang kafir yang fikir 'Masuk Melayu' itu bermaksud 'Masuk Islam, tukar bangsa kamu dan jadi Melayu'.
Disebabkan adanya pemahaman seperti ini, maka ada eloknya kita mengenepikan seketika istilah 'Masuk Melayu' agar mereka yang baru ingin memeluk Islam ini faham bahawa sebenarnya mereka tidak perlu menukar bangsa mereka pun untuk memeluk Islam.
Kita sentiasa mahukan dakwah dan hikmah apatah lagi dalam menyampaikan Islam kepada orang kafir. Mungkin dahulu tak jadi perkara yang sukar kerana orang Melayu dahulunya memang terkenal dengan sopan santun. Maka orang akan kenali Islam juga sebagai agama yang sopan santun sebagaimana mereka menilai orang Melayu. Namun pada hari ini, orang Melayu perlu kembali menjadi satu nama dan ikon yang mampu menjadi suri teladan kepada bangsa lain. Setidak-tidaknya dapatlah mendekatkan bangsa lain dengan Islam insyaallah. Wallahualam
___________________________
Taufiq Tuah
Telegram: https://t.me/revolusimelayubaru
Instagram: https://www.instagram.com/revolusimelayubaru
_____________________________
Comments
Post a Comment