Kerajaan Melayu Kubu

OLEH: Haziq Azhar

Makam Yang Di Pertuan  Besar Kubu, Syarif Idrus Abdurrahman


Kerajaan Kubu merupakan antara kerajaan – kerajaan Melayu – Islam yang terletak di Kalimantan Barat, Indonesia. Kerajaan Kubu diasaskan oleh keluarga Syarif Al Idrisi yang mempunyai kaitan dengan keluarga Syarif Al Qadiri (kerabat diraja Pontianak). Keluarga Al Idrisi juga mempunyai hubungan yang baik dengan Stamford Raffles dan hubungan yang baik ini telah dicemburui oleh Belanda sehingga pihak Belanda telah menghukum beberapa ahli keluarga Syarif Al Idrisi. Oleh itu, terdapat juga ahli keluarga Syarif Al – Idrisi melarikan diri ke Sarawak. Seperti Kesultanan Melayu Pontianak, Kerajaan Kubu juga berada dibawah pengaruh Belanda.

 Pemerintah Kerajaan Kubu digelar Yang Di Pertuan Besar Kubu. Sayyid Idrus bin Sayyid 'Abdu'l Rahman al-Idrus merupakan pengasas Kerajaan Kubu yang berbangsa Arab berketurunan Ahlul Bayt. Baginda telah berkahwin dengan Pangeran Ratu Kimas, puteri Sultan Palembang. Hasil perkahwinan tersebut telah melahirkan Syarif Muhammad bin Syarif Idrus al-Idrus, Yang di-Pertuan Besar Kubu. 
 Kerajaan Kubu juga amat terkenal dengan pusat penyebaran agama Islam. Penyebaran agama Islam di Kerajaan Kubu mencapai kemuncak apabila Syarif 'Abbas yang memerintah dari tahun 1900 sehingga 1912 melantik Haji Ismail Mundu sebagai Mufti Kerajaan Kubu. Haji Ismail Mundu merupakan seorang ulama yang amat terkenal dengan ilmu tasawufnya bahkan salasilah perguruan beliau berasal dari Muhammad Basuni Imran dan Syeikh Umar daripada Sumbawa. Beliau juga penulis kitab Dzikir Tauhidiyah.

 Pada tahun 1958, Kerajaan Kubu telah menjadi sebahagian daripada Republik Indonesia. Syarif Hasan merupakan Yang Di Pertuan Besar Kubu yang terakhir terpaksa turun daripada takhta pada tahun 1958. 

Rujukan:
1. Haris, D. M. N., & Rahim, R. A. A. (2018). Akar Tradisi Politik Sufi Ulama Kalimantan Barat 2. Abad ke-19 dan 20. Ijtimaiyya: Jurnal Pengembangan Masyarakat Islam, 10(1), 39-62.
3. Husain, M. (2016). KARYA ULAMA DALAM MEMBANGUN KEDAMAIAN DI KALIMANTAN BARAT. Al-Qalam, 19(1), 59-66.
4. Sejarah Kerajaan Kubu (n.d.). Retrieved from: https://www.scribd.com/doc/305747823/SEJARAH-KERAJAAN-KUBU#user-util-view-profile



___________________________
~ Haziq Azhar ~
Lajnah Makalah Sejarah
_____________________________






Dapatkan buku Menangkis Fitnah Yang Terpalit Pada Bani Umayyah! Untuk keterangan lanjut sila KLIK DI SINI .



Comments