Cara Menggalakkan Perpaduan Nasional

OLEH: Dr Sahul Hamid Mohamed Maiddin


Apakah cara yang barangkali boleh menggalakkan perpaduan nasional?

1. Promosikan sejarah nasional. Gunakan segala aparatus kerajaan untuk gerakan propaganda. Propaganda patriotisme. Ia harus dicetuskan oleh kerajaan, dan harus tulus melangkaui kerangka pemikiran peti undi.

2. Bahagikan sejarah nasional kepada tiga bahagian terbesar. Sejarah prakolonial, Sejarah zaman kolonial dan Sejarah Pascakolonial. Sejarah prakolonial berkisar sejarah masyarakat Melayu sebelum wujudnya zaman ekonomi komersil yang ditandakan dengan kehadiran kuasa kolonial baik Portugis, Belanda mahupun British.

Sejarah zaman kolonial pula meliputi peranan kolonial khususnya British dalam mencorakkan wilayah dalam negara ini, dari sudut pengenalan aktiviti ekonomi dan proses pencerobohan dalam sistem politik tradisional. Di sinilah berlakunya proses pemodenan negeri-negeri Melayu mengikut piawaian kuasa kolonial Barat. Ketika ini, British khususnya, membawa masuk tenaga kerja dari China dan India. Bab ini perlu dibincangkan lanjut dan meluas. Di bahagian ini melibatkan matlamat pencerahan bagi sifat kemajmukan. Sejarah penentangan dan watak penentang penjajah turut diua-uarkan di sini.

Sejarah pascakolonial. Bahagian ini merupakan pembinaan sejarah sepunya. Ia melibatkan soal proses menuntut kemerdekaan dan pembentukan Malaysia. Di bahagian ini, sejarah ditempa untuk mewujudkan persefahaman dan menonjolkan kepentingan kepelbagaian kaum berdasarkan proses pembentukan negara, Malaya dan Malaysia. Setiap segmen mempunyai ciri tersendiri dan kesemuanya berinteraksi bersama bagi melangsungkan kehidupan dengan kondusif. Kerosakan di mana-mana bahagian masyarakat mengganggu ekosistem sosiopolitik yang wujud.

3. Sekolah satu aliran. Mahu tidak mahu, sekolah bersifat kebangsaan Malaysia harus diwacanakan semula secara serius. Sukar? Ya memang sukar. Tetapi perubahan mesti dilakukan sebelum ia menjadi 'kematu.' Proses ini menuntut pengorbanan semua kaum. Sekolah kebangsaan Malaysia ini harus neutral dari elemen kaum dan agama, dihubungkan dengan satu bahasa utama, iaitu Bahasa Melayu, berdasarkan Perlembagaan. Pada masa yang sama ia mempromosi dan meraikan kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia. Proses persefahaman dan hormat menghormati disemaikan dalam kalangan rebung manusia.

4. Pemahaman Perlembagaan perlu diperluaskan. Proses penggubalan dan isinya harus dipropagandakan. Indoktrinasi jika perlu. Orang Malaysia tahu adanya Perlembagaan tetapi tidak tahu isi pentingnya dan tidak sedar kepentingannya. Kita harus diajar, sekurang-kurangnya, ada satu dokumen yang bersifat 'saksi sejarah' dan 'pemandu arah' yang mengikat kita semua sebagai warga Malaysia.

5. Kita duduk diam-diam sahaja menunggu keajaiban turun dari langit untuk mengubah dan memperbetul persepsi dan prejudis harian kita. Sementara itu kita sambung dulu kutukan dan pergaduhan sesama kita supaya masa tidak terbuang sia-sia.


___________________________
Dr Sahul Hamid Mohamed Maiddin ~
Unit Sejarawan
_____________________________

Comments