Tembok Cina Bukan Dibina Iskandar Zulqarnain / Zulkarnain?

OLEH: Abu Amru Radzi Othman

Zulqarnain berkata: "Apa yang telah dikuasakan oleh Rabbku kepadaku terhadapnya adalah lebih baik, maka tolonglah aku dengan kekuatan (tenaga manusia dan alat-alat), agar aku membuatkan dinding antara kamu dan mereka. Berilah aku potongan-potongan besi". Hingga apabila besi itu telah sama rata dengan kedua (puncak) gunung itu, berkatalah Dzulqarnain: "Tiuplah (api itu)". Hingga apabila besi itu sudah menjadi (merah seperti) api, dia pun berkata: "Berilah aku tembaga (yang mendidih) agar ku tuangkan ke atas besi panas itu" (Al Kahfi: 95-96)



Dari sini kita dapat sedikit maklumat tentang tembok tersebut:

(1) Bahan buatannya terdiri dari besi dan tembaga.

(2) Potongan besi disusun tinggi, lalu dipanaskan sehingga merah menyala.

(3) Kemudian bata nesi yang merah menyala itu dicurahkan dengan tembaga cair.

(4) Tembok tersebut setinggi gunung dan berada diantara dia gunung.



Untuk lebih jelas, dibawakan ucapan Ibn Katsir. Beliau berkata:

"Az zubur bentuk jamak dari 'zabrah', maknanya potongan besi. Demikianlah menurut apa yang dikatakan oleh Ibn Abbas, Mujahid, dan Qatadah, potongan besi itu akan dijadikan sebagai batanya" (Tafsir Ibn Katsir)

Bata besi itu disusun seperti yang lazim dilakukan untuk membina bangunan. Tapi susunan bata besi itu sangat tinggi sehingga mencapai puncak gunung, seperti dinyatakan secara jelas pada ayat yang berikutnya:

"Hingga apabila besi itu telah sama rata dengan kedua (puncak) gunung itu"
(Al Kahfi: 96)

Ibn Katsir menyambung perkataan untuk ayat 96 ini:

"Iaitu setelah potongan-potongan besi itu disusun mulai dari dasarnya, hingga ketinggiannya sama rata dengan puncak kedua bukit seraya menutup celah yang ada di antara keduanya..." (Tafsir Ibn Katsir)

Ia adalah satu hujah yang sangat terang betapa ketinggian tembok tersebut adalah separas gunung.

"dia pun berkata, "Berilah aku tembaga (yang mendidih) agar kutuangkan ke atas besi panas itu"
(Al Kahfi: 96)

Bahi ayat ini pula, Ibn Katsir menjelaskannya seperti berikut:

"Ibn Abbas, Mujahid, Ikrimah, Ad Dahhak, Qatadah, dan As Saddi mengatakan bahawa yang dituangkan itu adalah tembaga. Sebahagian dari mereka menambahkan:" tembaga yang telah dilebur", dengan berdalilkan firman Allah swt: "dan Kami alirkan cairan tembaga baginya"
(Saba: 12)

Lantaran itulah maka dinding tembok ini diserupakan dengan kain burdah yang bergaris.

Ibn Jarir mengatakan, telah menceritakan kepada kami Bisyr ibn Yazid, telah menceritakan kepada kami Sa'id, dari Qatadah yang mengatakan: "Pernah diceritakan kepada kami (para Tabi'in) bahawa seorang lelaki berkata kepada Rasullullah saw:

"Wahai Rasulullah saw, sesungguhnya aku telah melihat tembok Ya'juj dan Ma'juj"

Nabi saw bersabda: "Kalau begitu, gambarkanlah keadaannya kepadaku!"

Lelaki itu berkata: "Dari kejauhan nampak bentuknya seperti kain burdah yang bergaris, iaitu garis hitam dan garis merah". Nabi saw bersabda: "Kalau begitu, bermakna kamu telah melihatnya." Hadis ini berstatus mursal (Tafsir Ibn Katsir)

[hadis mursal menurut istilah adalah hadits yang gugur perawi dari sanadnya setelah tabi’in. Maksud dalam bahasa yang lebih mudah, hadis ini hampir kepada dhaif]

Yang ingin dinyatakan oleh Ibn Katsir adalah rupa bentuk tembok tersebut, bukannya kisah ada sahabat yang sudah pernah melihatnya.

Rupa dinding tembok yang dibangunkan itu adalah bergaris-garis, tidaklah seperti peralatan besi / tembaga di rumah yang licin. Tidak juga seperti pintu besi di kota-kota, lantaran tembok yang dibangunkan oleh Nabi Dzulqarnain itu terlalu besar saiznya.

Andaian tentang Tembok Besar China (TBC) adalah bendungan yang dibina oleh Nabi Dzulqarnain adalah salah.

Kesalahannya terlalu banyak, sehingga dapat dikata ia muncul dari kecetekan ilmu tentang TBC.

Asas TBC telah dibina semenjak kirun ke 7SM lagi. Kemudian disambungkan oleh Maharaja China yang pertama, Qin Shi Huang selepas berjaya menyatukan wilayah China pada 221SM.

Shi Huang naik tahta Kerajaan Qin pada zaman Zhan Guo (zaman negara berperang) berlaku pada
403SM – 221SM.

Pada masa Zhan Guo itu negara-negara kecil ditelan oleh 7 negara besar:

- Negara Qin
- Negara Chu
- Negara Han
- Negara Qi
- Negara Wei
- Negara Yan
-Negara Zhao

Setelah Shi Huang berjaya menyatukan seluruh wilayah China yang pelbagai suku itu, maka dia memulakan projek membina tembok dengan menyambung tembok-tembok yang telah wujud di negara-negara yang berjaya ditakluki.

Justeru asas TBC dibina oleh penyembah berhala dan digabungkan juga oleh Qin Shi Huang yang juga musyrik.

Tembok Besar China dibina dari batu-bata, tanah termampat (taipa), kayu, dan bahan-bahan lain. Sebenarnya pada zaman awal pembinaannya, bahan yang dipakai hanyalah batu, kayu dan tanah termampat. Penggunaan bata menjadi bahan utama pada zaman Ming.

Lihat betapa bahan binaan Tembok Dzulqarnain berbeza dari bahan binaan TBC.

TBC disiapkan dalam masa yang sangat lama, sekitar 2000 tahun. Terakhir ditambah oleh Dinasti Ming yang naik Pada kurun ke 14M.

Apakah bagi orang yang percaya TBC itu merupakan Tembok Dzulqarnain, lalu mengatakan ada sebahagian dari TBC itu merupakan tembok yang dibina oleh sang nabi lalu disambung oleh dinasti-dinasti seterusnya? Jika semacam itulah yang difikirkan, silakan tunjukkan lokasi tembok besi yang setinggi gunung itu!

Kita juga sedia maklum bahawa Tembok Dzulqarnain itu tidak akan dapat diruntuhkan sehinggalah di akhir. zaman. Setiap kali Yakjuj dan Makjuj membuat lubang padanya, maka ia akan bercamtum semula.

Manakala TBC itu sudah ada yang hancur, terutama sekali tembok-tembok yang dibina di zaman Shi Huang dan tembok-tembok yang terbuat dari taipa.

Sesungguhnya akibat hakisan dan perbuatan manusia, sekitar 2000km atau 30% dari TBC sudah hilang (musnah) pada hari ini.

Tinggi TBC adalah sekitar 12 ke 26 kaki sahaja. Tinggi tersebut tidak layak dipanggi setinggi gunung. Malah TBC juga tidaklah menutupi jurang diantara dua gunung, sebaliknya di atas gunung - pada kawasan bergunung.



___________________________
~ Abu Amru Radzi Othman ~
Lajnah Sejarah
_____________________________





Dapatkan buku Menangkis Fitnah Yang Terpalit Pada Bani Umayyah! Untuk keterangan lanjut sila KLIK DI SINI .


Comments