Dia Ialah Saudara Anjing Kalian (Bidalan yang Disalah Erti)

OLEH: Abu Amru Radzi Othman

Ketika kecil, ayah pernah berkata tentang abang kami: "Dia itu saudara anjing kalian".

Ucapan ayah terasa sakit di hati kami. Tergamak ayah memisalkan anjing kepada abang kami itu, sedangkan dia lahir dari rahim yang sama kami keluar.

Namun setelah dewasa dan mula belajar ilmu-ilmu bahasa, dan semakin cinta pula pada budaya, tahulah kami bahawa 'saudara anjing' itu sebuah peribahasa.

Ia adalah satu peribahasa yang jarang dipakai oleh umat Melayu hari ini. Dan sesungguhnya perkataan 'saudara anjing' tidaklah membawa konotasi negatif.

Yang kurik itu kendi
Yang merah itu saga
Yang molek itu budi
Yang indah itu bahasa

Mahir berbahasa dengan menyulamnya sekali sekala dengan peribahasa: perumpamaan, simpulan bahasa dan bidalan, melambangkang kearifan si pengucapnya.

Peribahasa adalah ayat atau kelompok kata yg tetap susunannya dan mempunyai maksud tertentu. Dalamnya terkandung perumpamaan, simpulan bahasa, bidalan, ibarat, kiasan, pematah, pepatah, ujar-ujaran, ungkapan dan mamang.

Perumpamaan: susunan kata-kata yang mempunyai kalimat 'umpama’, ‘seperti’, ‘bagai’, ‘ibarat’ dan ‘laksana’. Contohnya 'Bagai aur dengan tebing'.

Simpulan bahasa: merupakan peribahasa yang paling ringkas, selalunya terdiri dari dua patah perkataan. Contohnya 'saudara anjing', 'anak emas' dan 'buruk siku'.

Bidalan: peribahasa yang mempunyai erti selapis dan digunakan untuk nasihat dan peringatan, contohnya 'terlajak perahu boleh undur, terlajak kata buruk padahnya', 'adat periuk berkerak, adat lesung berdedak', 'belum duduk, sudah belunjur' dan 'biar putih tulang, jangan putih mata'.

Pepatah: adalah patah-patah perkataan yang disusun untuk mematahkan kata-kata orang yang dilawan bercakap. Pepatah seakan bidalan tetapi mempunyai rangkaian perkataan berkerat-kerat atau berpatah-patah. Contohnya 'pucuk dicita ulam mendatang', 'harapkan pegar, pegar makan padi', 'lembu punya susu, sapi dapat nama' dan 'air yang tenang jangan disangka tiada buaya'.


Saudara Anjing bermaksud adik-beradik seibu berlainan ayah.


[Legasi Pemikir - LEKIR]

Comments