OLEH: Taufiq Tuah
Bismillah
Idealogi seseorang itu terkadang dipengaruhi oleh pembacaan, sekeliling dan sahabat handai. Ideologi ini akhirnya mempengaruhi gerak geri dan tindak laku kita di dalam sesuatu perkara.
Orang barat sangat rinci dalam melabel ideologi. Mereka telah memberikan nama-nama yang pelbagai untuk semua idealogi ini seperti Conservative Sosialis, Liberal Communist, Conservative Centrist, Republican Democrats dll. Akhirnya nama-nama ini juga sampai ke timur dan Malaysia.
Lihatlah, akhirnya orang-orang kita (Malaysia-Melayu-Islam) juga sibuk meletakkan diri mereka di dalam nama-nama ideologi barat ini. Tanpa berfikir panjang, mereka dengan bangga berkata "Aku ialah Conservative Socialis" atau "Aku ialah Conservative Centris". Ada juga yang berkata "Aku Conservative dalam isu ini tetapi Liberal dalam isu yang lain".
Mungkin orang awam melihatnya sebagai tidak salah. Namun jika kita tanyakan kembali kepada diri kita, kenapa perlu kita sibuk meletakkan diri kita di dalam nama-nama idealogi barat? Di mana kedudukan kita sepatutnya?
Sebenarnya kita perlu kembali kepada Islam. Islam bukan sahaja agama tetapi sebenarnya Islam ialah panduan hidup. Islam merupakan panduan termasuklah dalam isu-isu sosial, politik malah ekonomi. Jika kita akui Islam ialah panduan hidup, maka kita pastinya tidak akan mengakui bahawa kita sebahagian daripada idealogi yang dinamakan oleh barat itu. Malah kita dengan tegas sepatutnya berkata, "Aku kembalikan kepada Al-Quran dan hadis sahih". Hal ini sebagaimana dalil,
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا آمِنُوا بِاللَّـهِ وَرَسُولِهِ وَالْكِتَابِ الَّذِي نَزَّلَ عَلَىٰ رَسُولِهِ وَالْكِتَابِ الَّذِي أَنزَلَ مِن قَبْلُ
“Wahai orang-orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan kepada kitab al-Qur’an yang telah diturunkan kepada Rasul-Nya (Muhammad Salallualaihiwasalam) dan juga kepada kitab-kitab suci yang telah diturunkan dahulu sebelum daripada itu.”
[al-Nisa’:136]
Betapa banyak ideologi yang muncul di barat, saling membangkang dan bercanggah sesama mereka. Setiap idealogi mempunyai perjuangan dan halatuju tersendiri. Lalu apakah urusan kita sebagai Muslim untuk menyibukkan diri di dalam lembah pembantahan mereka? Bukankah Allah telah menasihati kita?
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّـهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّـهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ
“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada uli al-amr (orang-orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu kembali kepada (kitab) Allah (al-Qur’an) dan (sunnah) rasul-Nya jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan juga hari akhirat.”
[al-Nisa’:59]
Lalu atas alasan apa yang membuatkan kita rasa perlu untuk terikut-ikut gelaran barat? Wallahi perbuatan menggelar diri sendiri dengan nama ideologi barat, tidak sekali-kali membuatkan diri anda nampak pandai dan elit. Malah sebenarnya menampakkan sepertinya Islam itu tidak cukup sebagai ideologi bagi mu.
Lebih parah lagi, ada yang dengan sesuka hati menambahkan istilah 'Islam' di dalam ideologi barat. Muncul lah pula "Sosialis Islamist", "Islamic Democracy" malah yang paling parah di Malaysia, "Islamic Liberal". Ibarat tidak cukup 'Islam' sahaja untuk mereka sehingga mereka perlu mencampuri cara fikir Islam dengan cara fikir barat. Bertaqwalah kepada Allah! Kembali kepada Al-Quran dan Sunnah.
Jika ada yang tanya apakah idealogi ku? Maka jawabku, "ISLAM". Apabila Al-Quran dan Sunnah menjadi pegangan, adakah lagi ideologi yang lebih benar daripada itu? Tiada. Maka idealogi Al-Quran dan Sunnah ialah yang paling benar dan secara automatiknya, idealogi kalian ialah idealogi yang batil. Wallahualam.
[Legasi Pemikir - LEKIR]
Comments
Post a Comment