OLEH: Dr Norman Mohd Norawi
Testosteron adalah sejenis hormon kelelakian yang dihasilkan oleh tubuh manusia terutamanya dari kelenjar testis lelaki. Ia juga terhasil dalam jumlah yang sedikit didalam wanita daripada kelenjar adrenal pada buah pinggang. Ia adalah hormon utama untuk orang lelaki. Paras hormon lelaki ini paling tinggi semasa remaja sehingga awal 20an dan mula turun dengan kadar satu peratus setahun bermula daripada umur 30 tahun. Fungsi utama hormon ini adalah membentuk ciri-ciri fizikal kelelakian seperti misai, janggut, suara garau, bahu lebar, perut kempis, otot besar, minda fokus dan penumpuan serta untuk meransang nafsu syahwat.
Apabila paras hormon testosteron ini menurun sehingga ke satu paras yang agak rendah maka terdapat beberapa tanda atau simptom seperti perut buncit, otot menjadi kecut dan lembik, mudah letih dan lesu, gangguan mood dan emosi, mudah marah, kurang fokus dan penumpuan, kemurungan dan yang paling ditakuti leh orang lelaki adalah masalah ‘mati pucuk’ atau ganguan fungsi erektil zakar lelaki. Sindrom ini dikenali sebagai ‘Sindrom Kekurangan Testosteron’ atau Hipogonadisma. Lelaki yang mengalami masalah paras hormon testosteron yang rendah juga biasanya tidak mempunyai semangat untuk bersenam dan membuat aktiviti fizikal.
Tiada paras khusus yang tepat untuk tahap kekurangan hormon testosteron ini, tetapi gejala-gejala tersebut diatas akan berlaku apabila paras hormon testosteron menurun ke paras kurang daripada 12nmol/L. Diantara punca-punca berlaku masalah kekurangan hormon testosteron ini adalah kerana penyakit seperti diabetis, darah tinggi, kurang aktif secara fizikal, obesiti, keradangan tinggi, atherosklerosis, stress yang melampau, sindrom metabolik, merokok dan kesan sampingan ubat-ubatan tertentu.
Lelaki yang mempunyai masalah sindrom kekurangan testosteron ini akan mempunyai masalah zakar yang lemah, tidak keras atau tidak boleh kekal keras. Masalah ini tidak akan selesai dengan mengambil ubat tenaga batin seperti sildenafil, taladafil atau vardenafil. Rawatan khusus untuk mengggantikan hormon testosteron ini secara pil, krim atau gel sapuan perlu dilakukan untuk membantu merawat masalah ini.
Terdapat sedikit kesan sampingan pengambilan gantian testosteron ini seperti jerawat, kulit berminyak, gangguan prostat, bengkak sembab air, bengkak puting dada, dengkur kuat. Kajian menunjukkan gantian testosteron tidak akan menyebabkan kanser prostat. Oleh itu amat penting mendapatkan rawatan dari doktor pakar yang faham tentang rawatan ini. Lelaki yang mempunyai gejala-gejala testosteron rendah perlu mendapatkan perundingan dan rawatan secara khusus daripada doktor dan professional dan tidak mengambil rawatan secara sembarangan dari pelbagai orang yang menjual pelbagai jenis jamu, ubat kuat tradisi dan sebagainya. Kandungan ubat-ubatan yang tidak diketahui bahannya secara khusus mungkin boleh membahayakan kesihatan anda untuk jangkamasa panjang.
Kajian menunjukkan dengan mengambil rawatan gantian hormon testosteron ini maka seseorang lelaki itu boleh mengawal paras kolesterol, menurunkan berat badan, mengawal tekanan darah tinggi, mengawal paras glukosa darah dengan lebih baik yang meningkatkan tenaga serta nafsu syahwat ke tahap yang sepatutnya.
Terdapat juga kajian yang menunjukkan dengan mengekalkan testosteron te tahap yang sepatutnya akan menguatkan jantung dan memperbaiki perjalanan darah jantung. Kajian juga mendapati , paras testosteron yang rendah akan meningkatkan risiko kematian akibat lemah jantung dan dengan mengambil gantian testosteron boleh mengurangkan risiko kematian akibat lemah jantung sehingga 50% berbanding dengan seseorang yang mempunyai paras testosteron yang rendah.
Terdapat kajian yang kontroversi yang menyatakan bahawa rawatan gantian testosteron boleh menyebabkan masalah sakit jantung dan strok. Tetapi kajian ni telah dipertikaikan oleh ahli sains setelah didapati kajian ini adalah palsu. Oleh kerana itu Persatuan Antarabangsa Kesihatan Seksual telah mengeluarkan kenyataan yang menyanggah kajian ini dan menggalakkan rawatan gantian testosteron. Sebanyak duapuluh lima persatuan perubatan diseluruh dunia telah menyertai Kumpulan Kajian Androgen yang mendesak kajian palsu tersebut ditarik balik. Kesimpulannya, rawatan gantian testosteron adalah selamat dan perlu diambil jika mempunyai gejala-gejala yang menunjukkan kekurangan hormon testosteron.
Beberapa kaedah gaya hidup sihat yang boleh dilakukan oleh seseorang untuk mengekalkan paras hormon testosteron ini adalah dengan bersenam secara tetap terutamanya senaman dengan mengangkat beban besi ,mengangkat beban badan sendiri, menjaga berat badan dan mengelakkan perut buncit. Kurangkan makan karbohidrat berglisemik indeks tinggi seperti gula, makanan proses, roti putih, nasi putih, mee, biskut, jajan dan sebagainya.
Makanlah lebih makanan alami seperti daging, telur, ikan, sayur-sayuran, buah-buahan, kekacang dan sebagainya. Mengawal stress dan melakukan hubungan seksual secara kerap juga boleh meningkatkan paras hormon testosteron ini. Kajian juga menunjukkan pengambilan herba Tongkat Ali akan meningkatkan paras testoterone seseorang.
Boleh la di amalkan kaedah pemakanan, senaman dan suplemen ini untuk mebantu lelaki meningkatkan semula paras hormon testosterone ini, Insyaallah.
Comments
Post a Comment