Solidariti Alumni Universiti Islam Madinah

 OLEH: Ustaz Ahmad Fazrin Yahaya


Maa syaa Allah, hikmah dari penghinaan dan pendustaan dari Kiyai Nuruddin Al-Banjari ke atas Universiti Islam Madinah (UIM), saya menyaksikan ombak bantahan dan solidariti dari alumni terhadap pendustaan tersebut.

Betapa saya mengharapkan lebih hebat ombak bantahan solidariti terhadap pelbagai fitnah dan dusta ke atas kerajaan yang telah menyediakan pelbagai kenikmatan pengajian buat para penuntut ilmu dari serata dunia.

Pelajar-pelajar universiti Arab Saudi bukan sahaja menerima biasasiwa penuh (0 yuran pengajian), bahkan elaun berkala (bulanan atau setiap semester, saya lupa), tiket pergi balik ke negara masing-masing setahun sekali, pelbagai insentif lain termasuk kitab-kitab pengajian percuma, dan banyak lagi yang pastinya para alumni dan pelajar universiti Arab Saudi lebih tahu daripada saya.

Kelebihan-kelebihan ini amat dicemburui oleh semua yang sedang berusaha untuk memasuki termasuklah mereka yang telah gagal untuk memasuki mana-mana universiti Arab Saudi terutama UIM. Saya dapat tahu ada yang sampai tiga kali mohon baru dapat.

Bahkan kelebihan universiti-universiti Arab Saudi bukan terhad kepada biasiswa dan insentif pelbagai untuk para pelajarnya, bahkan yang amat didambakan adalah kesempatan 6 tahun (paling kurang) untuk tinggal dekat dengan Dua Tanah Haram serta melazimi para ulama’ rabbaniyyun yang melata di Dua Bumi Suci ini mengajar ilmu tanpa satu riyal pun perlu dibayar kepada mereka hafizhahumullaah warahimahum.

Lebih daripada itu, alumni Arab Saudi juga berpeluang untuk menerima elaun bulanan tetap sebagai guru atau pendakwah di negara masing-masing, yang mana elaun ini sangat sudah memadai bagi mereka yang terpilih untuk tidak mengambil apa-apa gaji lain dan ia cukup untuk menampung keperluan sara hidup bulanan. Elaun ini juga terus meningkat saban tahun seperti meningkatnya tangga gaji tahunan. Sungguh komited kerajaan Arab Saudi ingin terus memberi ‘support system’ kepada para graduan untuk terus memberi khidmat kepada ummah.

Sebab itulah nikmat-nikmat ini amat dicemburui oleh ramai yang masih gagal untuk menembusi pintu-pintu gerbang universiti Arab Saudi. Bagi saya, dua institusi utama Arab Saudi yang amat tidak wajar difitnah setelah jasa dan khidmatnya yang amat banyak tak terkira baik dari segi nilai riyal juga pengorbanan para ulama’ di sana; Masjid dan Universiti.

Selain universiti yang berjasa melahirkan ribuan ilmuan yang bertebaran di serata dunia, masjid-masjid Arab Saudi juga masyhur dengan pelbagai program ilmu yang percuma. Ramai para masyayikh yang menjadikan masjid sebagai pusat ilmu mereka dengan daurah dan kuliah yang konsisten sepanjang tahun. Ini tak termasuk halaqah hafazan Quran yang telah melahirkan ratusan ribu atau mungkin jutaan huffaz yang saban hari menghafaz, mentasmi, dan bermurajaah di setiap penjuru masjid.

Saya tak banyak pengalaman indah bersama UIM sepertimana yang ramai berkongsi sebagai tanda bersolidariti dengan UIM yang kali ini ditohmah dengan fitnah yang semakin melampau oleh Pak Kiyai.

Alhamdulillah, Allah beri juga saya peluang emas yang takkan saya lupa sampai bila-bila, saat menghadiri muqabalah/interview (dulu nak masuk universiti Saudi kena muqabalah) pada tahun 2006 dengan sahabat-sahabat saya, dan Syaikh yang menjadi panel muqabalah saya memberitahu saya:

“Ahmad, kamu tak payah masuk maahad lughah dah (pusat bahasa/foundation center), kamu terus masuk jami’ah (universiti)” kata Syaikh setelah tamat sesi muqabalah. Bagai nak terbang saya pada waktu mendengar komen dari Syaikh 😍😍😍. Speechless. Teruja. Syukur. Alhamdulillah hingga kini, 2021 ... saya masih setia menunggu panggilan dari Madinah ... dan kini saya terus menunggunya di dalam pejabat Kedutaan Arab Saudi hampir setiap hari πŸ˜…

[Legasi Pemikir - LEKIR]

Comments