Penyakit Zaman Jepun

 OLEH: Abu Taqiyuddin


Allahyarham Datuk Aziz Sattar pernah menulis*


Selama Jepun memerintah, macam-macam penyakit menular di sana sini. Sedih sekali untuk digambarkan kerana saya sendiri mengalami penyakit pekung kaki. Sudah hampir enam bulan pekung tidak sembuh-sembuh. Ubat yang dapat digunakan hanyalah belerang dengan minyak kelapa, tetapi tidak berkesan.


Dengan kuasa ALLAH, pak cik saya orang Ambon mengubati saya hanya dengan menyemburkan tembakau ke pekung saya yang dalam saya kira-kira dua inci sahaja. Mula-mula disembur dengan tembakau sejuk sekali, tetapi selepas 15 minit, pedihnnya menyebabkan saya hampir pengsan. Itulah sahaja penawarnya yang diberikan kepada saya. Alhamdulillah selepas itu pekung saya sembuh.


Penyakit pada zaman itu memang tidak dapat dikawal lagi. Ubat berkurangan dan pesakit bertambah ramai. Ada yang kena tepok, demam malaria, pekung, kudis dan lain-lain lagi penyakit yang tidak dapat diubati.


Dalam masa yang sama, mak cik saya (adik ibu saya) diserang sakit tepok yang menyebabkan kedua-dua belah kakinya tidak berfungsi lagi. Pergi ke tandas dan mandi terpaksa didukung. Rasa-rasanya dalam keadaan serba kekurangan memang harapan untuk baik memang tipis. Cuma yang terdaya dilakukan hanya dengan berdoa setiap waktu.


Tetapi dengan izin ALLAH, saya disuruh oleh seorang tua supaya mencari kacang hijau. Mengetahui sahaja suruhannya, saya tidak membuang masa dan terus mencari kacang hijau hingga dapat.


Apabila ditunjukkan kepada orang tua itu, dia segera menyuruh saya merebus kacang hijau itu dengan beberapa ulas bawang putih tanpa garam, dimasak sehingga pekat. Itulah dimakan oleh mak cik saya setiap hari.


Ibu saya memberikan kacang hijau kepada mak cik saya selama hampir tiga bulan. Masuk bulan keempat, kaki mak cik saya dapat bergerak perlahan-lahan sehinggalah sembuh seperti biasa. Umur mak cik saya sudah 105 tahun dan masih kuat berjalan.


Al-Hamdulillah semuanya kuasa ALLAH.


*Dipetik dari Buku 'Meredah Gelombang Seni : Sebuah Memoir' karya Datuk Aziz Sattar



[Legasi Pemikir - LEKIR]

Comments