Perjalanan Haji Yang Ajaib

 OLEH: Ustaz Ahmad Fazrin Yahaya


Baki kurang 48 jam lagi untuk 60 ribu jemaah haji pada tahun ini berwuquf di Arafah, rukun utama haji yang menentukan haji seseorang itu sah atau langsung tiada nilai. Melihat posting-posting dari page Haramain Sharifain betul-betul buat diri ini rindu untuk menjadi tetamuNya.

Bertambah mendalam rindu apabila keajaiban menjadi salah seorang yang sepatutnya mengiringi satu delegasi khas jemaah haji dari Kuala Lumpur pada tahun ini hampir menjadi kenyataan, tetapi perjalanan haji ini terpaksa dibatalkan kerana masa terlalu suntuk. Mendapat khabar gembira pada petang Selasa lepas untuk bersiap sedia, kemudian mendapat khabar duka pada pagi Jumaat bahawa perjalanan terpaksa dibatalkan.

Sepatutnya urusan visa haji telah saya sempurnakan pagi semalam (Jumaat), namun beberapa minit sahaja sebelum saya keluar rumah untuk menuju ke HQ Kedutaan Arab Saudi di Wisma Chinese Chamber, group Whatsapp khas bagi delegasi haji dikejutkan dengan berita bahawa perjalanan haji kami terpaksa dibatalkan kerana faktor masa yang terlalu suntuk untuk pihak kerajaan Arab Saudi menyiapkan segala persediaan untuk kami. Qaddarallaahu maa syaa’ wa maa fa’al.


Apa yang berlaku terus mengingatkan saya kepada kisah-kisah haji dan keajaiban yang sering saya kongsikan bila berbual dengan keluarga dan sahabat-sahabat terdekat yang memang benar-benar menunjukkan betapa besarnya kuasa Allah dalam menentukan siapa yang akan terpilih menjadi tetamuNya pada setiap musim haji. Baik cerita mereka yang asalnya tiada petanda langsung untuk pergi dan kemudiannya secara tiba-tiba dapat peluang untuk pergi, atau kisah mereka yang dah siap semua segala persediaan untuk pergi dan akhirnya secara tiba-tiba terpaksa menarik diri atau gagal mendapatkan kelulusan penuh untuk berlepas.

Baki kurang 48 jam ini masih saya harapkan keajaiban dari Allah untuk jadikan saya tetamuNya menunaikan haji pada tahun ini. Selagi belum wuquf, selagi itulah ada kemungkinan berlaku keajaiban untuk menjadi tetamu Allah. Apapun, jika telah tertulis atas suratan taqdir bahawa tiada haji juga buat kami kali ini, in shaa Allah pastinya ada hikmah yang lebih besar yang Allah sahaja Yang Maha Mengetahui akan rahsianya.

Gambar: Mina pada malam tadi Lihat Sedikit


[Legasi Pemikir - LEKIR]

Comments