OLEH: Abu Amru Radzi Othman
Nota:
Gambar perahu Mahmudiye milik Kesultanan Uthmaniyyah.
Tuhan telah mentakdirkan kita untuk berdiam di kawasan kepulauan sehingga mahu tidak mahu maka umat Melayu harus menggunakan perahu untuk pelbagai urusan. Betapa kita sebagai bangsa terawal yang terlibat dalam teknologi perahu - sebuah istilah untuk seluruh pengangkutan air - sehinggakan mencipta layar serta bebas menyeberang lautan dengan menggunakan tiupan angin monsun.
Boleh dikata setiap kerajaan Melayu akan memiliki sebuah perahu yang terkenal dimana perahu ini selalunya menjadi kenaikan raja atau sultan negeri tersebut.
Antara yang terkenal itu adalah perahu kenaikan Sultan Iskandar Muda - memerintah dari 1607 hingga 1636 Masihi - diberi nama Cakra Dunya yang pada lidah kaum Peringgi dipanggil Espanto del Mundo (horror of the world). Panjangnya sekitar 100 meter dan diisi dengan 100 meriam pelbagai saiz di sisi kanan dan kirinya.
Perahu ini memiliki tiga tiang layar dan juga memiliki tiga buah loceng besar yang berasal dari Dinasti Ming. Awalnya loceng itu dihadiahkan oleh Laksamana Cheng Ho kepada Kesultanan Pasai.
Cakra Dunya selalu diiringi oleh beberapa perahu lainnya seperti Cakra Alam, Rijalul ‘Asyiqin, Nurul ‘Isyqi, Cari Lawan, dan Naga Kentara.
Beratus tahun kemudian di Turki, Kesultanan Uthmaniyyah meluncurkan perahu Mahmudiye yang panjangnya 76.15 meter pada 1829 Masihi. Mahmudiye sempat merangkul gelar perahu terbesar di dunia ketika itu.
Pendek kata perahu umat Melayu itu memiliki berpuluh-puluh jenis dari bersaiz kecil hinggalah bersaiz besar. Hinggakan orang Barat menyebutkan perahu besar milik umat Melayu sebagai 'Raksasa Lautan'.
Dalam sebuah kertas kerja - saya terlupa jodol dan penulisnya - menyebutkan perahu Johor sahaja memiliki 80 lebih jenis. Penulis sempat menyenaraikan nama-nama perahu tersebut.
Yang dibahas ini hanyalah kisah silam yang tidak sepatutnya membuatkan kita terlena sebaliknya membuat kita merasa bangga dan siap untuk bangun kembali pada masa depan.
[Legasi Pemikir - LEKIR]
Comments
Post a Comment