Berikutan Kembalinya Nama Bukit Melaka

 OLEH: Taufiq Tuah

Pada awal bulan Mac 2022 ni, telah berlaku sesuatu yang sangat mengembirakan saya. Kepada yang masih ingat entri LEKIR sebelum ini di link http://legasipemikir.blogspot.com/2020/07/perzim-cadang-tukar-nama-bukit-st-paul.html berkenaan PERZIM yang mencadangkan penukaran kembali nama Bukit St Paul kepada Bukit Melaka. Alhamdulillah cadangan ini diluluskan.

Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Mohd Nasruddin Rahman berkata, pihaknya sudah pun memasang papan tanda pengenalan atau papan arah yang menamakan ianya sebagai Bukit Melaka (Bukit St Paul).

Menurutnya, ia bagi mengelak kekeliruan yang timbul khususnya dalam kalangan pelancong yang datang bersiar-siar di sekitar kawasan itu.

“Memang nama asalnya ialah Bukit Melaka yang dinamakan sewaktu kerajaan Kesultanan Melayu Melaka.

“Namun apabila zaman penjajah, nama tersebut telah ditukar memandangkan ia terletak berdekatan gereja St Paul,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).

Sedar, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka agak riuh juga sebab isu nama Bukit Melaka ini kembali naik. Isu itu dibangkitkan Leng Chau Yen (DAP-Bandar Hilir) yang mempersoal tindakan penukaran nama itu kerana didakwa sebagai satu cubaan untuk menukar sejarah.

Bagaimanapun Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis bangun dan menjawab soalan berkenaan dengan menjelaskan, pertukaran nama itu adalah berikutan Bukit Melaka adalah nama asal yang termaktub dalam sejarah Melayu Melaka, sebelum ketibaan penjajah.

Muhammad Jailani (BN-Rembia) berkata, pertukaran nama itu juga sama sekali tidak menukar sejarah, bahkan nama gereja Bukit St Paul yang terdapat di bukit berkenaan turut dikekalkan.

"Pada saya pertukaran nama itu satu penambahan nilai kepada Melaka. Kenapa kita mahu ikut nama yang diberikan penjajah? Jika di Beijing, nama penjajah dihapuskan. Kenapa kita tak mahu bangga jadi bangsa Melaka?

"Perspektif Yang Berhormat (Bandar Hilir) kena betul. Kita kena berjiwa Malaysia, bukan berjiwa penjajah. Saya minta Yang Berhormat Bandar Hilir belajar sejarah dulu sebelum mencaci," katanya.

Saya secara peribadi berpandangan, tak semestinya semua nama lama bagi semua kawasan itu perlu dikembalikan. Kita perlu sedar bahawa realitinya, kadang kala nama baharu diberikan untuk sesuatu tempat adalah kerana peristiwa baharu yang juga memahatkan sejarah yang baharu.

Namun baki kes Bukit Melaka ini, saya sangatlah bersetuju kerana nilai sejarah tempatan dan ketamadunan Melayu itu lebih wajar dipelihara berbanding nama penjajah atau yang serupa dengannya. Bukit Melaka ialah Bukit Melaka.

Lagipun, kenapa nak kekalkan nama bekas penjajahan? 


[Legasi Pemikir - LEKIR]



Comments