Upacara Meletak Atau Membuang Ancak

OLEH: Abu Aqif

Acak atau Ancak merujuk kepada sebarang jenis persembahan kepada makhluk halus dalam kebudayaan Melayu.

Persembahan ini biasanya merupakan makanan, biasanya terdiri daripada hidangan (tetapi tidak terbatas) seperti:

• Bertih
• Pulut kuning.
• Ayam panggang
• Telur (mentah/rebus)
• Anak patung tradisional
• Darah


Mengapa dilakukan persembahan kepada makhluk halus?

Ada banyak tujuan antaranya:

• untuk memenuhi perjanjian dengan makhluk halus seperti saka.
• digunakan dalam perubatan traditional untuk memujuk jin yang merasuk atau menganggu manusia agar mengikuti ancak yang kemudiannya dihanyutkan ke sungai.
• untuk membuang ilmu kebatinan yang dipakainya seperti susuk atau toyol.
• sebagai balasan kepada jin yang membantu manusia menyembuhkan penyakit. Ada yang menyebutnya sebagai menurun.

Jika tidak dilakukan dikatakan akan mengundang sial, akan ditimpa bala, akan diganggu makhluk halus dan seumpama dengannya.

Ancak ini dikatakan akan diletakkan di suatu tempat atau di hanyutkan ke sungai atau di laut.

Alhamdulillah, upacara ini telah kurang diamalkan di Malaysia jika dibandingkan pada sebelum ini. Namun masih ada lagi segelintir yang meneruskan kepercayaan seperti ini yang mana kita harapkan agar ianya ditinggalkan.

JAKIM pada tahun 2011 di bawah seksyen 36 dan seksyen 37 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 [Enakmen 4 tahun 2004] telah memfatwakan bahawa upcara ini adalah haram dilakukan dan ia adalah perbuatan syirik, yang menyekutukan Allah.

"Perbuatan meletakkan ancak adalah haram dan sesiapa yang mengamalkannya dianggap berdosa dan dikategorikan sebagai melakukan syirik kepada Allah SWT."

إِنَّهُ مَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدْ حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ وَمَأْوَاهُ النَّارُ ۖوَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ أَنْصَارٍ
"Sesungguhnya orang yang mempersekutukan (sesuatu dengan) Allah, maka pasti Allah mengharamkan kepadanya syurga, dan tempatnya ialah neraka, tiadalah bagi orang-orang zalim itu seorang penolong pun." [QS. Al-Maidah: 72].

Syirik ini dikategorikan sebagai SYIRIK AKBAR (besar) yang menyebabkan pelakunya terkeluar dari Islam, segala amalannya juga akan terhapus, tidak tersisa sedikit pun. Jika mati dalam keadaan ini, pelaku akan masuk neraka selama-lamanya.

وَلَوْ أَشْرَكُوا لَحَبِطَ عَنْهُمْ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
"Seandainya mereka mempersekutukan Allah, nescaya lenyaplah dari mereka amalan yang telah mereka kerjakan." [QS. Al An'am: 88].

Wajib bagi pelaku syirik bertaubat dengan sebenar-benar taubat dengan mengharapkan pengampunan Allah dan mempelajari ilmu Islam dengan benar. Perbanyakkan amalan dan berusaha untuk tidak lagi terjebak dengan apa jua perbuatan menyekutukan Allah.

Kredit:
1. JAKIM
2. rumaysho.com

[Legasi Pemikir - LEKIR]



Comments