'Bodoh' Dan 'Sial' Menjadi Hiperbola Bahasa Melayu

OLEH: Taufiq Tuah

Kita memahami bahawa Bahasa Melayu saban hari menghadapi evolusi dalam bahasanya. Misal yang nyata bagi evolusi ini ialah, Bahasa Melayu mulai meminjam perkataan lain untuk dimasukkan di dalam bahasa Melayu sedangkan sudah ada perkataan itu di dalam Bahasa Melayu.

Misal,
'Arnab' (Bahasa Arab) , sedangkan Bahasa Melayu sudah ada nama untuk haiwan yang sama iaitu 'Kelinci'.

Sinonim (Bahasa Inggeris), sedangkan Bahasa Melayu sudah ada perkataan yang maksudnya sama iaitu 'Seerti'.

Banyak lagi perkataan pinjam yang Bahasa Melayu ambil sedangkan Bahasa Melayu sudah ada perkataan itu di dalam Bahasa Melayu. Hal ini tidak termasuk kaedah memelayukan Bahasa Inggeris seperti menggantikan imbuhan Inggeris menjadi imbuhan Melayu.

'Democracy' = 'Demokrasi'
'Production' = 'Produksi'
'Televisyen' = 'Televisi'

Ini semua ialah contoh-contoh evolusi bahasa yang wujud pada waktu dahulu. Kadang-kala kita mengambil perkataan tersebut secara jelas tanpa mengubah apa-apa kalimahnya kerana mungkin ia hal yang asing di dalam negara atau juga kerana ia merupakan teknologi bukan asal tempat kita.

Misal,
Appel = Epal
Computer = Komputer
Kiwi = Kiwi

Juga evolusi ialah kerana pengaruh agama Islam yang akhirnya membawa kepada perkataan Bahasa Arab di dalam kamus Melayu seperti,
'Ukhwah', 'Masjid', 'Solat' dan 'Kitab'.

Namun di era moden ini, muncul satu lagi kaedah evolusi yang sangat pelik. Saya sendiri tidak tahu samada ia merupakan metafora moden ataupun hal yang akan merosakkan bahasa. Hal ini kerana mereka menggunakan perkataan yang tidak sesuai untuk menunjukkan sesuatu.

Ia bermula daripada perkataan 'Kacang' yang bermaksud 'Mudah'. Hal ini berlaku kerana orang zaman itu pada asalnya mencipta pepatah awam (bukan pepatah rakyat), "Senang macam kopek kacang sahaja". Kemudian disingkatkan lagi pepatah tersebut dengan "Senang Kacang Je" dan barulah ia berubah menjadi "Kacang je".

Namun generasi terakan datang tidak tahu asal-usul perkataan 'kacang' yang bermaksud 'mudah' ini. Lalu mereka menambah-nambah dalam perbicaraan mereka, "Senang kacang goreng je".

Istilah 'Kacang goreng' yang cuba dikaitkan dengan istilah 'mudah' sebenarnya kurang logik. Kerana kacang goreng tidak perlu dikopek. Malah, menggoreng kacang ialah hal yang leceh.

Ini lah salah satu contoh evolusi bahasa gaya moden yang kadang kala membawa keburukan di dalam bahasa kerana hilang seni 'perumpamaan' di dalamnya.

Seelok-elok perumpamaan "Senang macam kopek kacang" akhirnya jadi "Senang kacang goreng". Jauh menyimpang perumpaan buatan baru ini.

Kemudian datang lagi generasi yang lebih mudarat apabila meletakkan perkataan yang lebih tiada kena mengena dan tiada asal perumpamaannya.

Pisang = Bosan
Kunyit = Perbuatan luar tabie
Anjing = Memerli

Perkataan-perkataan di atas adalah ciptaan bahasa oleh generasi baharu yang tiada asas dalam perumpamaan.

Kemudian datang lagi generasi yang menggunakan perkataan keji untuk menjadikan perkataan hiperbola dalam bahasa. Misalnya dahulu kita menyebut,
"Kuat sungguh lelaki itu".
kemudian datang bahasa baru yang menyebut,
"Kuat sial lelaki itu".

Perkataan hiperbola 'Sungguh' akhirnya digantikan dengan perkataan 'Sial' yang mana sepatutnya 'sial' bukanlah salah satu daripada istilah hiperbola. Sial membawa maksud, malang.

Akhirnya anak muda hari ini membawa perkataan buruk, caci-maki di dalam kehidupan sehingga hilang seni bahasa malah hilang juga budibahasa. Hancurlah pekerti Melayu yang dahulu diagungkan dan tinggalah Melayu generasi baru sebagai bangsa yang hebat dalam mencaci dan memaki. Lebih teruk, apabila anak-anak ini memaki dan mencaci adalah kerana terdengar daripada mulut ibu bapa mereka sendiri.

Kesimpulannya, evolusi bahasa pada awalnya sangat disiplin dan sangat teliti tentang apa yang hendak diungkap. Namun evolusi kini menjadikan perkataan negatif sebagai bawakan.Hal ini perlulah dikhuatiri. Kita tidak mahu Bahasa Melayu akan datang penuh dengan perkataan kotor dalam perbicaraan.

Wallahualam
___________________________
~ Taufiq Tuah ~
Lajnah Makalah Sejarah
_____________________________


Comments