Menolak Dakwaan Bahawa Jawi Ialah Cedokan Tulisan Parsi - Arab

OLEH: Taufiq Tuah

Benarkah tulisan Jawi diambil dari cedokan tulisan Parsi-Arab atau Hindi-Arab?

Umum mengetahui bahawa tulisan Jawi sebenarnya ialah cedokan huruf-huruf Hijaiyah (Tulisan Arab). Setiap huruf yang ada di dalam tulisan  Arab juga dijadikan sebagai tulisan Jawi. Namun, ada berberapa huruf penambahan di dalam Jawi iaitu huruf چ , ڠ, ڤ, ڬ, ڽ, ۏ..


Huruf-huruf ini ialah hasil penambahan masyarakat ajam bagi menyesuaikan tulisan Arab mengikut lajah mereka. Perbincangannya pada hari ini ialah, adakah benar tulisan Jawi (dengan penambahan huruf-huruf ini) ialah cedokan daripada tulisan Parsi-Arab dan Hindi-Arab?

Sejarah menunjukkan bahawa Parsi lebih awal mengadaptasikan tulisan Arab kepada bahasa mereka. Oleh itu, boleh dilihat penambahan huruf-huruf seperti yang disenaraikan di atas memang ada juga di dalam tulisan Parsi-Arab. Maka ramai di antara sejarawan merasakan bahawa tulisan Jawi ialah cedokan jelas dari Parsi-Arab. Namun penulis sendiri kurang setuju dengan keterangan ini atas beberapa asbab.


1. BILANGAN HURUF PENAMBAHAN YANG TIDAK SAMA.
Parsi-Arab hanya mempunyai 4 huruf tambahan manakala tulisan Jawi mempunyai 6 huruf.
Hal ini kerana Parsi-Arab hanya menambah huruf, پ , چ, ژ, گ...


2. HURUF PENAMBAHAN YANG BERBEZA RUPA DENGAN PENAMBAHAN JAWI
Lihat sahaja betapa banyak beza di antara huruf penambahan mereka dengan Jawi. Mereka meletakkan tiga titik pada hururf 'Ba' dan 'Ro' sedangkan kita tidak melakukan hal demikian.



3. HURUF 'GA' DAN 'PA' DI DALAM PARSI-ARAB TIDAK DIGUNAKAN PADA 'GA' DAN 'PA' JAWI.
Parsi lebih awal mewujudkan huruf

گ = Ga
پ = PA

Namun Melayu tidak mengambil dua huruf yang diperlukan ini terus menjadi tulisan Jawi. Sebaliknya huruf Ga dan Pa di dalam Jawi wujud dalam bentuk yang berbeza iaitu,

ڬ = GA
ڤ = PA

Jika benar Jawi memang di ambil terus dari Parsi, maka tidak ada asbab pun untuk Jawi mengubah dua huruf Parsi yang sedia ada itu kepada bentuk yang lain sedangkang lajah Melayu juga memerlukan huruf tersebut.


3. LAJAH JAWI SESUAI DENGAN LAJAH ARAB HADRAMOUT
Hal ini jelas dengan huruf 'Pa' yang menjadi perbahasan. Huruf 'Pa' di dalam Parsi diolah dari huruf 'Ba' yang kemudian di tambah titiknya menjadi tiga titik.

Namun Jawi mengolah huruf 'Fa' yang dijadikan tiga titik. Ini menunjukkan pengaruh yang berbeza dalam mengenal pasti simbol yang sesuai untuk menyebut 'Pa'. Logik akalnya, 'Ba' dengan 'Pa' itu sememangnya lebih mirip berbanding 'Fa'. Lalu bagaimana Melayu boleh terfikir untuk menjadikan huruf 'Fa' sebagai tapak bagi simbol 'Pa'?

Hal ini kerana antara asbab awal kedatangan Islam ke Tanah Melayu ialah melalui pedagangan saudagar Arab Hadramout. Mereka datang ke Tanah Melayu untuk berdagang dan sekaligus membawa ajaran Islam di tempat ini. Maka kemungkinan lajah Arab Hadramout sebenarnya mempengaruhi penambahan Jawi ini.

Buktinya, hanya lajah Arab Hadramout sahaja yang pelat menebut 'Pa' menjadi 'Fa'. Berbeza dengan Arab-Arab lain yang kebanyakannya pelat menyebut 'Fa' menjadi 'Ba'.

Maka atas pengaruh 'Pa' menjadi 'Fa' ini, Melayu menjadikan 'Fa' sebagai tapak kepada simbol huruf 'Pa'. Ini turut membuktikan bahawa Jawi sebenarnya ialah olahan Melayu sendiri daripada huruf Arab dan layak jugalah Jawi disebut sebagai Melayu-Arab. Maka jelas bahawa Jawi bukanlah dicedok dari Parsi-Arab.

Dialek pelat 'Pa' menjadi 'Fa' ini juga telah dimasyhurkan oleh Allayarham Tan Sri P.Ramlee melalui filem-filemnya . Apabila melakonkan watak Arab bertutur Melayu, P.Ramlee sengaja mempelatkan sebutan 'Pa' kepada 'Fa' seperti 'Pulau' menjadi 'Fulau' dan 'Pergi' menjadi 'Fergi'.


Adapun begitu, Arab kebanyakannya (yang saya ketahui) lebih banyak pelat 'Pa' kepada 'Ba'. Sebagaimana mereka menyebut

POLAND menjadi بولندا (Bulanda)
PORTUGAL menjadi البرتغال (Al Burtughal)
PARIS menjadi باريس (Baris)
JAPAN menjadi اليابان (Al Yaban)
COMPUTER menjadi الكمبيوتر (Al Kombiutar)


Wallahualam.


Perlu diketahui juga bahawa Jawi melalui beberapa fasa sebelum huruf-huruf tambahan itu wujud. Namun kemungkinan pengaruh huruf 'Pa' bertapakkan 'Fa' ialah kemungkinan yang kuat kerana Tanah Melayu sememangnya lebih rapat dengan pedagang-pedagang Arab Yaman berbanding dengan Arab-Arab lainnya. Sehingga kini, ramai di antara orang Arab yang tinggal di Malaysia-Indonesia ialah berasal dari Yaman. Malah ada juga sebilangan orang-orang Arab di Yaman yang fasih berbahasa Melayu.

Rujukan:
1. Pengantar 'Ilmu Jawi, Kang Kyoung Seok, Muhammad Syukri Rosli, Klasika Media,2015
___________________________
~ Taufiq Tuah ~
Lajnah Makalah Sejarah
_____________________________




Dapatkan buku Kemunculan Misteri Pemuda Bani Tamim Di Akhir Zaman! Untuk keterangan lanjut sila KLIK DI SINI .


Comments