Sang Nila Utama, Sejarah Atau Mitos?

OLEH: Saufy Jauhary


Baru-baru ini telah tular di media sosial berkenaan nama Sang Nila Utama (jawi: سڠ نيلا أوتام  ). Hal ini setelah pemerintah Singapura pada 4 Januari 2019 yang lalu melancarkan lima tugu di negara tersebut iaitu Sang Nila Utama, Munshi Abdullah, Stamford Raffles, Tan Tock Seng dan Naraina Pillai. Walaupun kelima-lima tugu tersebut dilancarkan serentak, tetapi yang sering menjadi bualan orang ramai adalah tugu Sang Nila Utama.

(Dari kiri) Tugu Tan Tock Seng, Munshi Abdullah, Sir Stamford Raffles, Naraina Pillai dan Sang Nila Utama. Imej dari The Straits Times.

Siapa Sang Nila Utama? Mengapa mendengar namanya kita seakan-akan familiar dengan nama tersebut? Sebenarnya yang menyebabkan kita biasa mendengar nama tersebut kerana telah dipopularkan oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dalam filem arahannya iaitu Musang Berjanggut (1959). Dalam filem tersebut watak utama yang dilakonkan oleh beliau adalah bernama Tun Nila Utama. Rakyat Malaysia adalah penggemar filem-filem P.Ramlee, kerana itu biasa mendengar nama Tun Nila Utama.

Filem Musang Berjanggut 1959. Imej dari Filem Klasik Malaysia.
Berkenaan sejarah Sang Nila Utama, beliau adalah pendiri negara Singapura purba. Menurut Kementerian Kebudayaan Singapura, Sang Nila Utama menjumpai Singapura dan menubuhkannya pada tahun 1299 Masihi. Namun menurut Frank Swettenham di dalam bukunya British Malaya, Sang Nila Utama menjumpai Singapura yang pada masa itu masih bernama Temasik ialah pada tahun 1160 Masihi. Manakala berdasarkan kiraan yang dibuat oleh Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP), Sang Nila Utama telah menubuhkannya pada tahun 1170 Masihi.


Sumber kuno yang ada merekodkan penemuan Singapura ialah naskhah Sulalatus Salatin atau dikenali juga dengan nama Sejarah Melayu karangan Tun Seri Lanang dan juga terdapat di dalam Tuhfat al-Nafis [1] dengan diceritakan secara ringkas. Di dalam Sulalatus Salatin, diceritakan bahawa Sang Nila Utama merupakan putera kepada Raja Palembang, iaitu Sang Sapurba[2], dan juga menantu kepada Permaisuri Iskandar Syah, iaitu ratu kerajaan Pulau Bintan kerana Sang Nila Utama mengahwini puterinya yang bernama Wan Seri Beni.

Pada suatu hari , timbul niat Sang Nila Utama ingin bersiar-siar dan berbulan madu bersama isteri tercinta. Maka Sang Nila Utama pun meminta izin kepada ibu mertuanya. Bersiaplah rombongan yang dipimpin dua orang Perdana Menteri negeri Bintan iaitu Indra Bupala dan Arya Bupala untuk bertolak ke Tanjung Bemban (berada di Pulau Batam, Kepulauan Riau sekarang). Turut serta dalam rombongan itu termasuklah ibu mertuanya, Permaisuri Iskandar Syah. Perjalanan itu lengkap dengan lancang kenaikan baginda, jong perbujangan, bidar kekayuhan, teruntum penjalaan dan terentang permandian. Demikianlah banyaknya isi rombongan tersebut.

Tugu Sang Nila Utama.
Imej dari Singapore Bicentennial.
Di Tanjung Bemban, Sang Nila Utama dan Wan Seri Beni serta para pengiringnya bermain pasir dan bermandi manda. Digambarkan dalam Sulalatus Salatin, ada antara ahli rombongan yang mengambil bunga karang, mencari siput dan memetik bunga bakau. Ada juga yang bersiar-siar mencari buah pisang lalu merebusnya untuk dimakan.

Setelah puas mandi dan bersiar-siar di pantai, Sang Nila Utama dan beberapa orang pengiring lelaki masuk ke hutan di tepi pantai untuk memburu rusa. Banyak rusa yang mereka berjaya buru. Ketika mengejar seekor rusa yang mengelak daripada lemparan lembingnya, Sang Nila Utama sampai ke sebuah batu yang agak tinggi. Baginda berdiri di atas batu itu sambil memandang ke seberang laut. Baginda terlihat sebuah pulau yang terbentang hamparan pasir putih yang indah. Baginda pun bertanya kepada Indra Bupala gerangan pulau apa yang berpasir indah itu. Dijawab oleh  Perdana Menteri Indra Bupala: “Itulah hujung tanah besar, Temasik namanya.” Sang Nila Utama lalu memerintahkan Indra Bupala menyiapkan perahu untuk berlayar ke Pulau Temasik itu.

Berlayarlah mereka dengan diikuti beberapa kumpulan rombongan. Tidak lama kemudian, ketika berada di tengah laut, angin ribut pun datang. Perahu kenaikan diraja yang mereka tumpangi dimasuki air, dan tidak dapat dikendalikan. Air tidak tertimba lagi, alamat perahu akan karam. Tiada pilihan lain, isi perahu yang berat-berat pun dibuang ke laut untuk mengurangkan beban. Walaupun sudah habis semuanya dibuang, perahu itu masih belum selamat, malah hampr tenggelam.

Lalu disarankan oleh nakhoda perahu, satu-satunya jalan agar perahu besar itu tidak tenggelam adalah Sang Nila Utama harus membuka mahkota kerajaan dari jemala (kepala) dan membuangnya ke laut. Sebabnya, nakhoda itu percaya segala yang terjadi adalah disebabkan mahkota yang dipakai oleh Sang Nila Utama. Lantas Sang Nila Utama pun menanggalkan mahkota kerajaan dari jemalanya lalu dibuang ke laut. Dengan tidak semena-mena, angin ribut terus reda hingga perahu dapat didayungkan hingga ke daratan.

Sang Nila Utama kemudian naik ke darat, berjalan ke arah tanah terbuka berdekatan sebuah kuala sungai yang bernama Kuala Temasik. Tiba-tiba, dari tepi hutan melintas seekor haiwan yang amat tangkas, pantas dan perkasa. Warna tubuhnya berwarna merah, kepalanya berwarna hitam manakala dadanya berwarna putih. Ukurannya lebih besar daripada kambing randuk atau kambing hutan. Apabila melihat rombongan Sang Nila Utama yang ramai, haiwan itu pun melompat dan menghilang dari pandangan. Sang Nila Utama bertanya kepada Mangkubumi, Demang Lebar Daun akan gerangan binatang yang melintas tadi. Demang Lebar Daun menjawab sebagaimana yang dipetik daripada Sulalatus Salatin: “Tuanku, ada patik mendengar dahulu kala, Singa juga yang demikian itu sifatnya, pada bicara patik singalah gerangan itu.”[3]

Timbul hasrat untuk menjadikan Pulau Temasik sebagai negerinya, maka Sang Nila menamakan Pulau Temasik sebagai Singapura. Yang bermaksud Kota Singa, sesuai dengan nama binatang hebat yang dilihatnya. Sang Nila Utama memerintahkan Indera Bupala untuk kembali ke Tanjung Bemban, meminta bonda mertuanya agar kembali ke Bintan, Sekali gus memohon restu bahawasanya baginda dan Wan Seri Beni tidak akan kembali lagi ke Bintan kerana ingin membangunkan kerajaan baru.

Sang Nila Utama mendapat restu daripada Permaisuri Iskandar Syah. Tidak lama setelah itu, penguasa Bintan mengirimkan kuda dan gajah tunggangan yang amat banyak kepada Sang Nila Utama. Beberapa rakyat Bintan turut diperintahkan berpindah ke Singapura, menjadi rakyat Sang Nila Utama dan bekerja membantu Sang Nila Utama mendirikan kerajaan, bahu membahu dengan orang Selat atau Suku Laut yang sudah lama bermukim di kawasan pesisiran pantai Temasik. Suku Laut sangat berperanan sebagai tulang belakang yang membantu Sang Nila Utama mendirikan kerajaan Melayu. Sang Nila Utama kemudiannya menyandang gelaran Seri Teri Buana yang bermaksud Raja di Tiga Buana sebagai penghargaannya kepada tiga tanah yang dihormati iaitu Palembang, Bintan dan Temasik.

Setelah 48 tahun memerintah Singapura, Seri Teri Buana pun mangkat, dua tahun setelah meninggalnya Demang Lebar Daun dan Wan Seri Beni. Baginda dimakamkan di Bukit Singapura [4] berdekatan dengan makam permaisuri Wan Seri Beni. Putera baginda yang bernama Seri Pikrima Wira menggantikan baginda sebagai pemegang takhta kerajaan Singapura, manakala putera kedua baginda yang bergelar Tun Perpatih Permuka Berjajar menjadi Bendahara. Kerajaan Singapura Purba bertahan selama 91 tahun 5 bulan. Kali terakhir kerajaan tersebut diperintah oleh Raja Iskandar Syah (Parameswara) yang kemudian diserang oleh Majapahit hingga menyebabkan kerajaan tersebut musnah dan Parameswara melarikan diri ke Melaka.

Makam keramat Iskandar Shah yang terletak di Bukit Larangan, Singapura.
 Imej dari lifetoreset.wordpress.com
Menjadi satu persoalan adakah Sang Nila Utama itu benar-benar wujud? Sudah menjadi satu kebiasaan di kalangan sarjana apabila fakta-fakta sejarah yang diambil dari hikayat-hikayat Melayu pasti akan dipertikaikan kerana isi di dalamnya telah bercampur aduk dengan dongeng hingga menghilangkan kewibawaan fakta di dalamnya.

Benar, memang tidak ada bukti yang konkirt tentang kewujudan Sang Nila Utama di dalam sejarah melainkan hanya tercatat di dalam Sulalatus Salatin dan Tuhfat al-Nafis. Namun, berkenaan kewujudan kerajaan Singapura Purba terdapat bukti dari saksi-saksi dari zaman terkemudian yang sempat menyaksikan kesan rutuhan kota purba itu. Antaranya Temenggung Abdul Rahman serta 150 orang penduduk yang mendiami Singapura sekitar tahun 1819 Masihi, Stamford Raffles, William Farquhar dan Munshi Abdullah.

Frank Swettenham berkata di dalam British Malaya: “Pada Januari 1819, terdapat lebih kurang 150 penduduk di Pulau Singapura; sebilangan kecil merupakan orang asli dan selebihnya merupakan orang-orang yang menemani Dato’ Temenggung ketika beliau menetap di sana 8 tahun lalu. Orang Melayu tinggal di dalam bot dan pondok buruk di tebing kiri sungai Singapura, dan mereka sepatutnya menyara hidup melalui aktiviti melanun; tempat tersebut agak terbiar dan dipenuhi hutan belantara, walaupun Raffles dengan penuh semangat keghairahan menulis  mengatakan bahawa beliau telah berjaya mengesan kubu sebuah kota purba yang musnah 600 tahun dahulu.

Tapak yang dikatakan sebagai kota tersebut terletak di atas bukit kecil (kini dikenali sebagai Fort Canning) di sebelah tebing kiri Sungai Singapura, lebih kurang suku batu dari pesisir pantai. Ianya dipenuhi semak dan dipanggil “Bukit Larangan” dan dipandang oleh orang Melayu dengan rasa takut disebabkan tempat itu pernah diduduki oleh Istana Raja Singapura yang dikatakan berpenunggu. Apabila hutan belantara itu dibersihkan, terdapat beberapa pokok buah di atas bukit, batu asas bangunan yang lama musnah, dan beberapa batu nisan yang sangat purba.”

Munshi Abdullah merakamkan perbualan antara William Farquhar dan Temenggung Abdul Rahman berkenaan Bukit Larangan di dalam karyanya Hikayat Abdullah: “Setelah itu maka segera dikeluarkan oleh Tuan Farquhar perkataan lain, katanya, “Tengku, apa nama bukit ini disebut orang?” Lalu jawabnya, “Adapun bukit ini dari zaman dahulu zamannya bernama Bukit Larangan.” Maka kata Tuan Farquhar, “Apa sebabnya bernama Bukit Larangan?” Maka jawab Tengku Temenggung, “Adalah dalam ceteranya tatkala zaman sultan-sultan yang dahulu kala itu, di atas bukit inilah ia membina istananya. Maka sebab itulah dinamakan bukit itu Bukit Larangan. Maka ada pula di sebalik bukit itu suatu pancuran. Maka tempat itu bernama Pancuran Larangan. Kerana ia itu tempat segala gundik dan isteri sultan itu mandi. Seorang pun tiada boleh ke situ adanya.”

Bukit Larangan kini. Imej dari Wikipedia.
Kesimpulannya, walaupun tiada bukti sahih bahawa Sang Nila Utama itu benar-benar wujud di dalam lipatan sejarah, namun kerajaan Singapura Purba sememangnya telah terbukti akan kewujudannya. Justeru tidaklah mustahil mungkin juga wujudnya sosok Sang Nila Utama yang menjadi pengasas kepada Singapura seperti yang dinyatakan di dalam Sulalatus Salatin.








TANDAAN:

[1] Oleh kerana Tuhfat al-Nafis ini munculnya terkemudian daripada Sulalatus Salatin, besar kemungkinan penulis Tuhfat al-Nafis iaitu Raja Ali Haji merujuk tentang sejarah penubuhan Singapura berdasarkan pembacaannya terhadap Sulalatus Salatin.

[2] Ejaan jawi: سڠ سڤرب. Prof. Ahmat Adam berpendapat sebutan yang sebenar adalah Supraba kerana dalam bahasa Jawa kuno Suprabha bermaksud bersinar-sinar, gemilang dan indah. Suprabha juga adalah salah seorang daripada tiga makhluk kayangan dalam mitos Hindu. Dalam bahasa Sanskrit pula Suprabha bermaksud mempunyai wajah yang tampan, menarik dan berseri-seri.

[3] Mungkin binatang yang dianggap singa itu sebenarnya adalah seekor harimau kerana Singa adalah haiwan yang habitatnya di afrika, sedangkan haiwan yang digambarkan di dalam Sulalatus Salatin itu lebih mirip kepada harimau. Harimau dan singa memang mempunyai kesamaan dari segi ketangkasan dan kegagahan, mungkin kerana itu Demang Lebar Daun tersalah dalam meneka haiwan tersebut.

[4] Sekarang dinamakan Bukit Larangan atau Fort Canning.

Rujukan:
1)Edisi Pelajar: Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), A. Samad Ahmad (Penyelenggara), terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.
2)Sulalat al-Salatin ya’ni Perteturan Segala Raja-Raja (Sejarah Melayu), Muhammad Haji Salleh (Penyelenggara), terbitan Yayasan Karyawan dan Dewan Bahasa dan Pustaka.
3)Sejarah Melayu, W.G. Shellabear (Penyelenggara), terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.
4)Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin) Versi Siak, Muhammad Yusoff Hashim (Penyelenggara), terbitan Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM).
5)Sulalatu’s Salatin, Ahmat Adam (Penyelenggara), terbitan Yayasan Karyawan.
6)Sejarah Melayu (The Malay Annals), John Leydan (Penyelenggara), terbitan Silverfish Books.
7)Tuhfat al-Nafis,Virginia Matheson Hooker (Penyelenggara), terbitan Yayasan Karyawan dan Dewan Bahasa dan Pustaka.
8)Hikayat Abdullah, Terbitan Pustaka Antara.
9)British Malaya, Khairul Asraf Shah (Penterjemah), terbitan Geroda Merah Press.
10)Penemuan Tarikh Baru Pengasasan Empayar Kerajaan Melayu Melaka 1262, terbitan Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme (IKSEP).
11)Sejarah Melayu, Ahmad Dahlan, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.



___________________________
~ Saufy Jauhary ~
Lajnah Makalah Sejarah
_____________________________

Comments