OLEH: Raja Adley Paris
Hikayat Siak dimulai dengan tragedi pahit pembunuhan Sultan Mahmud Syah II ibn Sultan Ibrahim Syah (Marhum Mangkat Dijulang atau Marhum Kota Tinggi) yang bersusur-galur daripada zuriat Kesultanan Melayu Melaka pada tahun 1699 oleh Megat Seri Rama. Peristiwa pembunuhan tersebut mencetuskan 'sejarah hitam' bagi kuasa politik Melayu pada waktu itu. Baginda dikatakan tidak meninggalkan zuriat dan hal ini menyebabkan Bendahara Paduka Raja Tun Abdul Jalil ibn Bendahara Seri Maharaja Tun Habab Abdul Majid yang memegang jawatan sebagai Bendahara Johor pada waktu itu telah mengangkat dirinya sebagai sultan kerajaan Johor-Riau-Lingga-Pahang yang baharu.
Namun, tidaklah semudah itu baginda mempertingkatkan taraf dirinya daripada seorang yang bertaraf Bendahara kepada taraf Sultan yang dikatakan 'berdarah putih' kerana tradisi masyarakat Melayu tradisional yang dipegang pada waktu hanya mementingkan jalur salasilah raja-raja Melayu yang berasal daripada Raja Iskandar Zulkarnain. Justeru, terdapat pelbagai cabaran yang terpaksa dihadapi oleh baginda kerana terdapat pihak yang menyokong dan menentang pemerintahan baginda.
Kemunculan Yamtuan Raja Kechil Siak yang dipercayai sebagai zuriat Marhum Mangkat Dijulang telah mengubah senario politik kerajaan Johor-Riau pada waktu itu. Menurut keterangan Hikayat Siak, Raja Kechil Siak telah didaulatkan secara ritual peribumi oleh Puteri Jamilan dan Yamtuan Sakti di Pagaruyung dan kemudian baginda telah bertanggungjawab mengumpul para pengikutnya daripada suku Minangkabau dan Orang Laut yang mendiami kawasan Pantai Timur Sumatera dan di Selat (Singapura) bagi menyerang Johor. Pada tahun 1718, angkatan perang baginda akhirnya dengan mudah berjaya menyerang Johor serta menewaskan Sultan Abdul Jalil Riayat Syah IV. Baginda kemudiannya ditabalkan sebagai Sultan Johor yang baharu bergelar Sultan Abdul Jalil Rahmat Syah dan berkuasa di Johor sehingga tahun 1722 sebelum dialahkan oleh angkatan Upu Daeng Bugis Lima Bersaudara yang membantu Raja Sulaiman untuk mendapatkan semula takhta kerajaan Johor-Riau.
Kesultanan Siak diasaskan Yamtuan Raja Kechil (Marhum Buantan) sekitar tahun 1723 dan berkuasa sekitar tahun 1740-an. Sehingga tahun 1784, Kerajaan Siak diperintah oleh enam orang sultan yang berketurunan langsung daripada titisan darah baginda. Namun, keamanan kerajaan Siak tidak kekal lama kerana zuriat baginda sering berperang untuk merebut takhta kerajaan. Peperangan saudara memungkinkan keluarga lelaki kerabat diraja Siak yang berketurunan Sayyid memanipulasi takhta, lalu selepas tahun 1784, muncullah sultan-sultan Siak berdarah Arab Ba'alawi, dari pemerintahan Tengku Uda Sayyid Ali (Sultan al-Sayyid Syarif Ali Abdul Jalil Syaifuddin, 1784-1811) sehinggalah Tengku Sayyid Kasim (Sultan as-Sayyid Syarif Kasim II Abdul Jalil Syaifuddin, 1908-1946).
Zuriat benih keturunan Yamtuan Raja Kechil Siak yang secara tradisinya menjadi pengganti takhta kerajaan Siak terpaksa keluar dari Siak (selepas kekalahan Almarhum Sultan Yahya Abdul Jalil Muzaffar Syah atau Marhum Mangkat di Dungun), lalu berkelana untuk mencari dan menegakkan pengaruh politik masing-masing. Ada sebilangan mereka berkelana di Selat Melaka dan menyeberangi Laut China Selatan dengan para pengikutnya sendiri. Ada pula yang berjaya mengasaskan kesultanan baharu seperti Tengku Akil ibn Tengku Musa yang berkelana sehingga ke Sukadana, barat daya Pulau Borneo. Pada waktu ini juga, kuasa Barat seperti Belanda dan Inggeris berlumba-lumba untuk menguasai wilayah-wilayah Alam Melayu sehingga wujud pertembungan dengan kuasa politik tempatan.

Dedikasi untuk penyurat / penulis Hikayat Siak - Almarhum Tengku Said ibn Tengku Deris (Idris) bin Tengku Abdullah (Tengku Besar Kampar) ibn Almarhum Sultan Muhammad Abdul Jalil Muzaffar Shah @ Tengku Mahmud Raja Buang Asmara (Marhum Mampura) ibn Almarhum Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah @ Yamtuan Raja Kechil Siak (Marhum Buantan), sekretaris kepada Almarhum Sultan Abdul Jalil Syah ibn Tengku Musa Sukadana.
___________________________
~ Raja Adley Paris ~
Sahabat PENA
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
Comments
Post a Comment