Lo-Yueh Itu Johor?: Kajian Ke Atas Catatan Cina

OLEH: Abu Zabag


(*Amaran: Anda tidak sesuai membaca artikel ini jika anda tidak berfikiran terbuka/saintifik/rasional)

Berikut adalah beberapa petikan dari Buku Sejarah Tang Baru (Xin Tang Shu)

Petikan 1:

“Dari Pulau Kundur (軍徒弄 = Kiün-t’u-lung), selepas 5 hari, seseorang akan sampai di sebuah selat yang orang asing memanggilnya 質 = Chih. Ia berukuran 100 li (~ 40 km) dari utara ke selatan. Di pantai utaranya terletak negara 羅越 = Lo-yueh dan di pantai selatannya terletak negara Śrīvijaya (佛逝 = Fo-shih). Menghala ke timur dari Śrīvijaya, dalam 4-5 hari, seseorang sampai di negara Keling (訶陵 = Ka-ling), iaitu pulau terbesar di selatan. Seterusnya, menghala ke barat setelah keluar dari sebuah selat (sebuah lagi selat), dalam 3 hari seseorang akan sampai di negara 葛葛僧祇 = Ko-ko-seng-chih yang terletak di pulau satu lagi, ke arah barat lautnya adalah Śrīvijaya. Kebanyakan penghuninya adalah lanun. Kapal-kapal yang menempuh diganggu oleh mereka. Di pantai utara selat itu adalah negara Kedah (箇羅 = Ko-la). Menghala ke barat dari Kedah adalah negara 哥谷羅 = Ko-ku-lo.”

Petikan 2:

“5000 li (~ 2,000 km) menghala ke utara 羅越 = Lo-yueh adalah laut, dan menghala ke arah barat daya adalah 哥谷羅 = Ko-ku-lo. Pedagang-pedagang berulang-alik bertemu di sana. Adat budayanya sama dengan Dvaravati (堕和羅底 = To-lo-po-ti). Setiap tahun kapal-kapal dagang memulakan perjalanan dan datang ke Guangzhou.”

Petikan 3:

“Melalui 漦漦澗 = Chi-Chi-Kian, setelah 4 hari perjalanan, seseorang akan sampai di wilayah dalam negara 文単 = Wen-tan. Lagi 3 hari perjalanan, seseorang akan sampai di luar kubu kota Wen-tan dan mengambil 1 hari lagi untuk memasuki kota Wen-tan. Ia adalah Khmer Hulu (陸真臘 = Chen-la Hulu) dan di selatannya adalah Khmer Hilir (水真臘 = Chen-la Hilir). Ke selatan lagi seseorang akan sampai di laut kecil. Di selatan laut itu adalah 羅越 = Lo-yueh, dan ke selatan lagi adalah laut besar.”

Manakala petikan di bawah adalah dari Dao-yi-zhi-lue oleh Wang Ta-yuan

Petikan 4:

“羅越 = Lo-yueh terletak di selatan 南真駱 = Khmer Selatan…. Gunung-ganangnya tidak kaya dengan hasil-hasil, namun sawah padinya indah dan tahap umum negara adalah di pertengahan atas. Hasil tempatan adalah kayu laka, cengkerang penyu, lilin kuning dan kapas.”

Abstrak:
Pandangan yang dicetuskan oleh Pelliot yang meletakkan lokasi Lo-yueh di Johor sangat popular dan diikuti oleh kebanyakan sejarawan tanpa kritikan. Bagaimanapun, amat sukar dibayangkan jika Lo-yueh berkedudukan di Johor. Ia bukan sahaja tidak menepati ciri-ciri yang dinyatakan tentang Lo-yueh, bahkan ia kontradik dengan data-data dari Buku Sejarah Tang Baru itu sendiri.

Data-data dan analisa tentang negara Lo-yueh:

1) Hanya bersebelahan dengan negara Śrīvijaya, di utara Śrīvijaya.

2) Walaupun hanya bersebelahan dengan Śrīvijaya, namun adat budayanya sama dengan Dvaravati yang terletak di dataran tengah, tanah besar Thailand, berjarak lebih 1,000 kilometer dari Johor.

3) Berdasarkan kenyataan dari petikan pertama, lokasi Ko-ku-lo tidak mungkin di selatan Kedah setelah melalui selat Melaka dari Johor. Kedah adalah terminal akhir di selat Melaka sebelum menuju ke laut Andaman. Dinyatakan dalam petikan kedua; di selatan (barat daya) Lo-yueh letaknya negara Ko-ku-lo. Jika Lo-yueh di Johor, maka petikan kedua kontradik dengan petikan pertama. Jadi, kesimpulannya Lo-yueh mesti lebih utara dari Kedah dan Ko-ku-lo.

4) Lo-yueh adalah sebuah emporium yang dipenuhi pedagang-pedagang, namun di Johor tidak ada penemuan yang signifikan yang dapat dikaitkan sebagai sebuah emporium. Hanya terdapat manik-manik dan kaca-kaca yang pernah ditemui di kawasan Kota Tinggi dan Johor Lama.

5) Negara Lo-yueh bersebelahan dengan Negara Khmer Hilir yang dipisahkan oleh laut kecil (mungkin Teluk Bangkok, di bahagian paling utara Teluk Siam). Namun, Johor terlalu jauh dari Khmer.

6) Kelihatan gunung-ganang di sekitar Lo-yueh, namun Johor di bahagian selatan adalah kawasan tanah dataran.

7) Terdapat sawah padi terbentang di Lo-yueh, namun Johor bukanlah kawasan yang bersawah padi.

Perbincangan:
Dari data-data di atas kita dapat pastikan bahawa Lo-yueh tidak mungkin terletak di Johor. Lokasi yang pas untuk Lo-yueh ialah di bahagian semenanjung paling utara, berdekatan dengan dataran tengah, tanah besar di Thailand. Di sekitar Tanintharyi dan Ratchaburi kaya dengan tinggalan-tinggalan arkeologi yang dapat dikaitkan dengan sebuah emporium purba.

Jika lokasi Lo-yueh di sekitar Tanintharyi dan Ratchaburi, maka lokasi pas untuk Ko-ku-lo adalah di sekitar Takuapa. Tidak dapat dinafikan bahawa kota pelabuhan di Takuapa memang sudah berfungsi sangat lama. Terdapat kesan-kesan peninggalan kota pelabuhan purba yang nyata di Thung Tuk, Pulau Kho Khao di Takuapa.

Negara Śrīvijaya hanya bersebelahan dengan negara Lo-yueh, yang berada di selatannya. Ia konsisten dengan lokasi kota Śrīvijaya pada titik latitud 7 darjah 17 minit utara, yang diberikan dalam Buku Sejarah Tang Baru berdasarkan pengiraan gnomon. Selain itu, ia juga konsisten dengan data-data travelog I-Tsing.

Negara Keling hanya bersebelahan dengan negara Śrīvijaya, yang berada di selatannya. Ia konsisten dengan lokasi kota Keling pada titik latitud 6 darjah 44 minit utara, yang diberikan dalam Buku Sejarah Tang Baru berdasarkan pengiraan gnomon. Namun, ia memerlukan penjelasan lanjut kenapa lokasi negara Keling yang sepatutnya di pulau Jawa, tetapi data-data yang diberikan oleh Buku Sejarah Tang Baru menunjukkan ia terletak di semenanjung. Pada 760an m, kemaharajaan Śrīvijaya telah beralih kepada kerajaan Śailendra yang berpusat di pulau Jawa, iaitu setelah Śrīvijaya berjaya menumpaskan musuhnya, Khmer yang telah menduduki Śrīvijaya di semenanjung. Misi ini dijuarai oleh kerajaan Śailendra dari pulau Jawa, justeru ia diangkat dari kalangan raja-raja Śrīvijaya untuk menerajui kemaharajaan Śrīvijaya. Dengan kata lain, kerajaan Keling (Mataram) yang dikuasai oleh Śailendra pada masa itu mewakili kumpulan Śrīvijaya dalam misi penghantaran ufti-perdagangan ke China. Sehubungan dengan itu, tidak munasabah untuk kerajaan Śailendra mengumpulkan barangan dagangan di pulau Jawa sebelum dihantar ke China. Jadi, sangat mungkin Śailendra menggunakan pelabuhan di semenanjung sebagai pusat pengumpulan sebelum dihantar ke China. Justeru, pegawai-pegawai China difahamkan lokasi negara Keling di semenanjung. Kota pelabuhan Śrīvijaya sebelumnya di Singgora mungkin telah dimusnahkan oleh Khmer yang telah menyerang Śrīvijaya pada 740an m. Śailendra seterusnya mungkin menjadikan kota pelabuhan Yarang di Patani sebagai pusat pengumpulan barang dagangan sebelum dihantar ke China. Pegawai-pegawai China nampaknya tidak mengetahui bahawa Śrīvijaya sebelumnya telah menduduki kerajaan Keling di pulau Jawa melalui Śailendra dan berikutnya Śrīvijaya diserang dan diduduki Khmer sebelum Śrīvijaya membuat serangan balas untuk mengambil semula ibukota dan wilayah yang diduduki. Pada fahaman mereka Śrīvijaya dan Keling masih 2 negara berlainan pada abad ke-8 m. Setelah 742 m, Śrīvijaya (Shih-li-fo-shih) tidak dapat meneruskan pengutusan ufti-perdagangan ke China setelah diduduki Khmer, namun pada tahun 768 m Śailendra menyambungnya kembali, kali ini dengan nama Keling (Ka-ling/Ho-ling).

Lokasi Negara Ko-ko-seng-chih dapat dibayangkan di sekitar Muar-Melaka atau di seberangnya sekitar pulau Dumai-Bengkalis. Ia berjarak 3 hari perjalanan dari mulut selat Melaka dan ke arah barat lautnya adalah Śrīvijaya. 

Kesimpulan:
Sangat jelas bahawa lokasi Lo-yueh bukan di Johor tetapi di sekitar Tanintharyi dan Ratchaburi yang bersebelahan dengan negara Khmer dan negara Dvaravati. Data-data geografi yang diberikan oleh akaun China tidak begitu tepat, namun ia konsisten antara satu sama lain. 

Perbincangan lanjut dialu-alukan

___________________________
~ Abu Zabag ~
Sahabat PENA


Comments