Arab Saudi Haramkan Kanak-Kanak Di Masjidil Haram Pada Ramadhan?

 OLEH: Ustaz Ahmad Fazrin Yahaya


Saya lihat dah ada beberapa asatidzah dan sahabat (hafizhahumullaah) di FB yang kongsikan terjemahan tepat berkaitan isu pekeliling yang dikeluarkan oleh Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan (KHEIDB) Arab Saudi berkaitan persediaan masjid-masjid di Arab Saudi untuk menyambut bulan Ramadhan Al Mubarak tahun 1444H.



Perlu difahami, KHEIDB hanya bertanggungjawab mengawalselia masjid-masjid seluruh Arab Saudi, tetapi tidak termasuk Al-Haramain Al-Syareefain iaitu Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Kedua masjid suci ini ditadbirurus oleh Lembaga Pentadbiran Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi dibawah kepimpinan imam masyhur Maaliy Al-Syaikh Dr Abdul Rahman Abdul Aziz Al-Sudais hafizhahullaah.

Saya pernah ulas isu ini dalam bentuk video pada tahun lepas apabila tular ulasan dari Ustaz Muhib Syria waffaqahullaah berkenaan arahan baharu KHEIDB khusus untuk masjid-masjid seluruh Arab Saudi. Waktu itu hangat diperkatakan isu laungan azan speaker luar.

Untuk Ramadhan kali ini tiada yang baharu pun, ia sekadar peringatan kepada arahan yang lama. Termasuk isu larangan menyiarkan siaran langsung solat terawih. Perlu difahami, majoriti imam-imam masjid di Arab Saudi sangat tidak gemar untuk solat mereka disebarkan meluas samada secara langsung atau rakaman.

Bagi mereka solat mereka adalah ibadah untuk dipertontonkan kepada Allah dan bukan untuk manusia. Rakaman atau siaran langsung kepada mata-mata manusia bisa mendatangkan rasa ujub dan hilang ikhlas ibadah tersebut. Adapun siaran langsung bagi Masjidil Haram dan Masjid Nabawi adalah permintaan dari seluruh warga media dunia. Masjidil Haram dan Masjid Nabawi adalah hak milik bersama seluruh umat Islam sedunia, adapun masjid-masjid lain di Arab Saudi khusus untuk penduduk Arab Saudi.

Arahan-arahan lain jelas sekali bertepatan dengan Sunnah Nabi sallallaahu alayhi wasallam dalam etika solat dan qiyamullail seperti meraikan keperluan awam untuk menamatkan solat qiyam di sepuluh malam terakhir pada waktu yang memberi kadar masa yang mencukupi buat para jemaah bersiap untuk bersahur dan kemudian kembali untuk solat Subuh berjemaah.

Begitu juga gesaan untuk beriltizam dengan petunjuk Nabi sallallaahu alayhi wasallam dalam bab doa qunut witir agar tidak terlalu panjang berjela dan dipenuhi dengan doa-doa berbentuk sajak berirama.

Garis panduan beriktikaf juga bukanlah garis panduan baharu dan tiada langsung larangan untuk beriktikaf sekiranya para mu’takifin mengikut garis panduan yang ditetapkan. Garis panduan sebegini ada di hampir seluruh masjid di dunia.

Termasuk dalam garis-garis panduan yang diperingatkan kembali ialah berkaitan pengurusan menganjurkan iftar di masjid. Kebersihan perlu dititikberatkan dan dilarang untuk bina apa-apa bilik atau khemah tetap di dalam kawasan masjid untuk tujuan iftar. Ia jelas bagi menjaga keselesaan para jemaah untuk datang mengerjakan solat yang merupakan tujuan utama sesebuah masjid dibina.

Peringatan juga diberikan kepada para jemaah yang berniat untuk membawa kanak-kanak agar mengambil berat tentang tingkah laku anak-anak mereka agar tidak mengganggu ketenteraman para jemaah lain serta khusyu’ mereka ketika solat. Hal ini juga merupakan satu peringatan yang baik kerana menjadi tanggungjawab ibubapa untuk mengingatkan anak-anak mereka agar beradab di dalam masjid.

Bukan semua yang berlaku di Arab Saudi sejak kebelakangan ini kita sokong bahkan banyak kita terpaksa akui ia membimbangkan kita semua. Bahkan siapa yang ada hubungan rapat dengan para Masyayikh Rabbaniyyun Arab Saudi pasti telah mendengar ketidakredhaan mereka dengan apa yang berlaku. Bezanya mereka faham dan alim tentang cara Sunnah untuk mendepani keadaan semasa ini.

Kekurangan yang berlaku kini di Arab Saudi bukanlah tiket untuk kita menyebarkan fitnah terhadap apa yang tidak mereka lakukan. Berita-berita yang disampaikan oleh para pengamal media perlu ditabayyun terlebih dahulu dengan merujuk sumber asli berita.

Contohnya, Sami Hamdi Ketua Editor Portal The International Interest bukanlah seorang perawi yang telah terbukti kethiqahan beliau dalam mana-mana kitab perawi hadith bukan juga diiktiraf kethiqahan beliau oleh mana-mana ulama’ muktabar pada masa kini. Maka setiap apa yang beliau dakwa perlu diselidik terlebih dahulu sama seperti berita-berita dari sumber yang lain.

والله أعلم بالصواب


[Legasi Pemikir - LEKIR]


Dapatkan buku Kisah Pelayaran Abdullah Munsyi Ke Kelantan 27 Mac 1838. Sebuah catatan penulisan Abdullah Munsyi sendiri yang telah diterjemah rumikan. 
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI.

Comments